
Merujuk data Southeast Asia Primary Learning Metrics (SEA-PLM) 2024, Presiden Persatuan Sains, Teknologi dan Inovasi, Yunus Yasin, berkata situasi itu menimbulkan persoalan berkait keutamaan kepada STEM yang menjadi kunci melahirkan tenaga mahir untuk memajukan negara.

“Kita sekarang tidak cukup ‘nutrien’ STEM,” katanya kepada FMT, meminta kerajaan melihat semula kepentingan subjek itu dalam pendidikan negara untuk jangka panjang.
“Jika STEM bukan lagi keutamaaan, kita teruskan seperti sedia ada dan biarkan prestasi merosot.”
Katanya, namun jika bidang itu dianggap keutamaan maka waktu pembelajaran bagi mata pelajaran penting seperti matematik perlu ditambah selain meningkatkan jumlah tenaga pengajar berkualiti.
“Kemerosotan (waktu instruksional matematik di sekolah rendah) telah lama berlaku menyebabkan makin susah mencari guru berkualiti sesuai peredaran masa.
“Semakin lama tidak ubah keutamaan makin susah mencari pelajar berkemampuan menjadi guru matematik (pada masa depan) kerana bilangannya berkurangan,” katanya.
Mengikut laporan SEA-PLM 2024, Malaysia merekodkan waktu instruksional matematik di sekolah rendah dengan 576 jam manakala Filipina merekodkan waktu tertinggi dengan 1,330 jam.
Kemboja pula 1,040 jam manakala Myanmar merekodkan 1,032 jam (bagi lima tahun), Laos (825 jam bagi lima tahun) dan Vietnam (805 jam bagi lima tahun).
SEA-PLM 2024 adalah pentaksiran serantau anjuran Pertubuhan Menteri-menteri Pendidikan Asia Tenggara dengan kerjasama Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (Unicef), melibatkan tujuh negara Asean termasuk Timor-Leste.

Anuar Ahmad dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang membangkitkan perkara itu di Facebook mempersoalkan bagaimana waktu singkat boleh menggambarkan cita-cita Malaysia mahu menjadi negara maju.
“Bagaimana kita masih boleh ‘selesa’ bercakap kononnya mahu menjadi negara berteknologi tinggi sedangkan dari awal lagi pun jumlah masa murid kita belajar matematik sudah jauh ketinggalan berbanding dengan anak-anak negara jiran?
“Cuba belek sendiri jadual waktu anak-anak sekolah rendah tahap satu (tahun satu hingga tiga), lihat sendiri berapa banyak masa untuk anak-anak kita belajar matematik dalam seminggu?
“Bandingkan pula dengan Myanmar yang anak-anaknya belajar matematik lebih 1,000 jam sepanjang bersekolah rendah, itu pun sekolah rendah hanya lima tahun bukan enam tahun,” katanya.

Mohamad Sattar Rasul dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pula berkata, keadaan itu boleh diimbangi menerusi penyampaian menarik atau secara kontekstual bukan teori semata-mata.
“Ini kelemahan dalam kurikulum kerana kita banyak mengajar untuk menghafal matematik tetapi akhirnya tidak faham penggunaannya.
“Menambah masa instruksional matematik sekolah rendah bukan penyelesaiannya tetapi paling penting bagaimana dilaksanakan,” katanya yang mencadangkan aktiviti menyelesaikan masalah diperbanyakkan.