Operasi lori lebih muatan berkesan, kata kumpulan

Operasi lori lebih muatan berkesan, kata kumpulan

Persekutuan Trucking Malaysia berkata ramai ahlinya melaporkan hasil operasi yang positif sejak lapan minggu lalu.

jpj lorry
Operasi JPJ ke atas kenderaan komersial yang melebihi muatan bermula sejak Oktober, dijadualkan berlangsung sehingga 31 Dis. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Tindakan tegas terhadap kenderaan komersial melebihi muatan menunjukkan hasil positif, termasuk peningkatan kecekapan pengangkutan, kata Persekutuan Trucking Malaysia.

Persekutuan itu berkata, ramai ahlinya melaporkan hasil operasi yang positif sejak lapan minggu lalu, seperti kitaran lengkap operasi dan penjadualan kenderaan yang lebih lancar, dan perancangan kargo yang lebih baik dalam had muatan mengikut undang-undang.

Katanya, dalam pemerhatian pihak mereka juga mendapati tiada peningkatan secara umum dalam kadar pengangkutan, dan penetapan harga kekal tidak berubah untuk jenis kargo yang secara konsisten mematuhi had berat dibenarkan.

“Hanya sektor yang sebelum ini bergantung pada muatan berlebihan sahaja yang terjejas. Dalam kes sedemikian, harga bagi setiap perjalanan kekal sama, manakala kos per tan kini mencerminkan secara tepat kadar pengangkutan mengikut kepatuhan undang-undang,” katanya dalam kenyataan.

Persekutuan itu juga berkata, tiada kekurangan kapasiti pengangkutan dalam pasaran dengan bekalan kenderaan kekal mencukupi untuk memenuhi permintaan.

“Kami mengakui sepanjang dua minggu pertama penguatkuasaan, industri mengalami tempoh penyesuaian dan adaptasi.

“Namun, selepas pengendali, penghantar, dan pelanggan mula memahami keperluan tersebut, operasi keseluruhan mula stabil sejak itu,” katanya.

Dilancarkan pada 14 Okt, operasi Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) ke atas kenderaan komersial yang melebihi muatan dijadual berlangsung sehingga 31 Dis.

Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook, berkata operasi itu menandakan langkah penguatkuasaan tegas demi mengekang sikap tidak endah
dan enggan patuh dalam kalangan pengendali dan pemandu kenderaan komersial, memuatkan kenderaan secara berlebihan dan melanggar undang-undang jalan raya.

Kenyataan persekutuan itu hadir menjawab pengkritik mengenai pelaksanaan operasi itu, termasuk komen seorang Adun DAP Johor, menyebut tindakan sedemikian menjejaskan pengilang minyak, yang kos operasinya meningkat sekurang-kurangnya 20%.

Wakil rakyat Jementah, Ng Kor Sim, kesan sama turut dialami sektor lain, termasuk pembinaan, di mana had muatan yang lebih ketat diterjemahkan kepada perbelanjaan tinggi pengangkutan dan operasi.

Namun, Loke berkata kementeriannya tidak akan berunding dengan mana-mana kumpulan atau syarikat industri pembinaan yang tidak berpuas hati dengan penguatkuasaan berkenaan, sambil menyifatkannya ia menjadi keperluan untuk memastikan keselamatan pengguna jalan raya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.