Ejen kutipan tak dapat sebarang komisen daripada JPJ

Ejen kutipan tak dapat sebarang komisen daripada JPJ

Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook berkata tujuan syarikat menjadi ejen kutipan bertujuan untuk menambah nilai perkhidmatan mereka.

JPJ WILAYAH PERSEKUTUAN
Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook, berkata ejen kutipan ingin membantu memudahkan urusan pelanggan mereka ketika berurusan dengan JPJ.
PETALING JAYA:
Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) tidak membayar sebarang komisen kepada ejen kutipan bagi transaksi berkaitan pengangkutan, kata Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook.

Loke berkata, ejen kutipan menawarkan perkhidmatan seperti pembaharuan cukai jalan, pertukaran hak milik, dan pembayaran saman, dengan tiada komisen dibayar kepada mereka.

Beliau berkata, syarikat yang memohon untuk menjadi ejen kebanyakannya beroperasi dalam talian yang ingin membantu memudahkan urusan pelanggan ketika berurusan dengan JPJ.

Loke memberi contoh seperti penjualan kereta melalui platform jualan dalam talian yang masih memerlukan seseorang menyelesaikan saman tertunggak, memindahkan pemilikan, dan memohon cukai jalan baharu.

“Apa dia kutip 100% mesti dikembalikan kepada kerajaan, dia tidak dapat komisen apa-apa daripada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ). Jadi tidak timbul mereka ini dibenar mengutip komisen.

“Ada orang tanya kalau tak dapat komisen mengapa mereka nak buat kerja ini? Mereka (ejen pemungut) ingin menambah nilai kepada perkhidmatan mereka,” katanya dalam hantaran video di Facebook miliknya.

Penjelasan Loke dibuat sehari selepas Ketua Pengarah JPJ Aedy Fadly Ramli, menjawab kebimbangan dibangkitkan Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Saleh, mengenai pelantikan Rider Gate Sdn Bhd, anak syarikat Ramssol Group Bhd, sebagai ejen kutipan.

Akmal mempersoalkan mengapa pihak luar dilantik sedangkan menurutnya JPJ sentiasa menguruskan kutipan secara dalaman melalui aplikasinya.

Aedy berkata, ejen dilantik JPJ tidak mempunyai peranan dalam kutipan melalui saluran rasmi, iaitu aplikasi MyJPJ, MySikap, dan pejabat JPJ, yang terus diuruskan jabatan itu.

Beliau berkata, ejen kutipan hanya membenarkan perkhidmatan JPJ ditawarkan melalui saluran tambahan, dan platform insurans kenderaan yang dilantik sebagai ejen, contohnya menawarkan pembaharuan lesen kenderaan motor apabila pelanggan membeli insurans kenderaan.

Aedy berkata, pengguna masih mempunyai pilihan memperbaharui lesen mereka secara berasingan dan terus dengan JPJ melalui saluran rasmi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.