
Keberangkatan tiba pasangan diraja itu pada majlis ‘Old Frees Association Kuala Lumpur & Selangor Anniversary Dinner 2025’ yang berlangsung di Hotel Royale Chulan disambut presiden persatuan Ivan Ooi serta barisan kepimpinan persatuan.
Majlis turut diserikan dengan kehadiran Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek, Ketua Pengarah Pendidikan Mohd Azam Ahmad, serta tetamu kehormat daripada pelbagai persatuan alumni sekolah lain.
Hadirin dihiburkan dengan persembahan istimewa penyanyi Jamal Abdillah dan penampilan sulung pasukan pancaragam PFS.
Dalam ucapan alu-aluannya, Ooi menyifatkan majlis itu sebagai manifestasi penghargaan terhadap warisan bersama dan pencapaian sekolah, selain menjadi wadah mengeratkan silaturahim antara generasi bekas pelajar.
Acara kemuncak pada malam tersebut menyaksikan Raja Perlis menyempurnakan Pelancaran Kiraan Detik Sambutan Ulang Tahun Ke-210 PFS, sebagai simbolik bermulanya persiapan menuju detik bersejarah sekolah tersebut.
Raja Perlis adalah bekas pelajar PFS, selain ayahandanya Tuanku Syed Putra Jamalullail dan puteranya, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.