Aktivis gesa Fahmi Reza amal kebebasan bersuara beradab

Aktivis gesa Fahmi Reza amal kebebasan bersuara beradab

M Ridzal berkata kebebasan bersuara perlu disertai tanggungjawab moral dan undang-undang.

Fahmi Reza
M Ridzal mempersoalkan pendekatan Fahmi Reza yang didakwa sering menyasarkan tokoh dan institusi tertentu. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Seorang aktivis menggesa artis grafik Fahmi Reza mengamalkan kebebasan bersuara secara beradab dan bertanggungjawab susulan tindakannya yang menyentuh institusi diraja.

M Ridzal berkata, kebebasan bersuara diakui tonggak penting dalam sistem demokrasi, namun tidak bersifat mutlak dan perlu disertai tanggungjawab moral serta undang-undang.

M Ridzal
M Ridzal.

Beliau berkata dalam konteks Malaysia, institusi diraja mempunyai kedudukan istimewa sebagai simbol perpaduan, kestabilan dan kesinambungan sejarah negara, justeru sebarang kritikan terhadap institusi itu perlu dibuat dengan kebijaksanaan dan berfakta.

Katanya, kritikan disampaikan dalam bentuk sindiran keras dan provokatif bukan sahaja gagal membuka ruang dialog sihat, malah berpotensi mencabar sensitiviti rakyat terhadap institusi yang dilindungi Perlembagaan.

Ridzal turut mempersoalkan pendekatan Fahmi yang didakwa sering menyasarkan tokoh dan institusi tertentu, disifatkan tidak lagi neutral.

“Keadaan ini menimbulkan persepsi aktivisme yang dibawa tidak lagi bersifat neutral, sebaliknya terpilih dan mempunyai kecenderungan tertentu,” katanya mengulas hantaran terbaru Fahmi yang melibatkan Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Ridzal berpandangan aktivisme yang matang bertujuan mendidik dan memperbaiki keadaan, bukannya membakar sentimen atau mengheret masyarakat ke arah kebencian terhadap simbol negara.

“Keberanian sebenar aktivis diuji apabila mereka bersikap adil, konsisten dalam prinsip dan berani menegur semua pihak tanpa mengira kedudukan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.