Kerajaan tidak akan tolak ansur apabila isu kaum, agama gugat keharmonian

Kerajaan tidak akan tolak ansur apabila isu kaum, agama gugat keharmonian

Perdana Menteri Anwar Ibrahim kata perbahasan di Parlimen sering kali terpesong mengikut garis perkauman, sekali gus gugat perpaduan.

Prime Minister Anwar Ibrahim
Perdana Menteri Anwar Ibrahim kata kerajaan harus tegas, termasuk dalam isu bahasa. (Gambar Bernama)
PUTRAJAYA:
Perdana Menteri Anwar Ibrahim menegaskan kerajaan akan ambil pendirian tegas dan tidak bertolak ansur apabila isu-isu membabitkan bahasa, kaum, dan agama mengancam keharmonian.

Berucap pada majlis bersama editor kanan petang tadi, Anwar berkata perbahasan di Parlimen dan wacana awam sering kali terpesong mengikut garis perkauman, sekali gus menggugat perpaduan negara.

“Mengenai isu kaum, bahasa, dan ekonomi, kita mesti bertindak lebih tegas. Kita tidak boleh terus memainkan sentimen kaum atau agama sehingga menghalang kemajuan negara.

“Jika kita terus main isu kaum dan warna kulit, kita tidak akan ke mana-mana. Sebab itulah sudah tiba masanya untuk kita bertegas, termasuk dalam isu bahasa,” katanya.

Anwar turut menegaskan bahawa memperkasakan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan kekal keutamaan, sambil mengakui kepentingan bahasa Inggeris dan bahasa lain dalam ekonomi global.

Menyentuh aspek pendidikan, beliau mengulas mengenai isu Sijil Peperiksaan Bersama (UEC) dengan menyatakan bahawa pengiktirafan bukan satu masalah, asalkan terdapat komitmen untuk memahami sejarah negara dan bahasa kebangsaan.

“Satu kumpulan kata Anwar menentang UEC. Satu lagi kata Anwar tunduk kepada tuntutan kaum Cina.

“Ia bukan sekadar soal menerima atau menolak, tetapi melihatnya dalam konteks yang lebih luas — sejarah negara kita, sistem pendidikan kebangsaan, dan keperluan untuk memperkukuh bahasa kebangsaan,” katanya.

Debat mengenai UEC kembali hangat minggu lalu selepas Timbalan Pengerusi DAP, Nga Kor Ming, mengumumkan rancangan untuk meminta pertemuan dengan Anwar untuk membincangkan pengiktirafan, lalu mengundang kritikan daripada pemimpin Umno dan pihak-pihak lain.

UEC diberikan bagi Peperiksaan Bersama yang dijalankan di sekolah-sekolah menengah persendirian Cina, dan pada masa ini tidak diiktiraf untuk kemasukan terus ke universiti awam.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.