
Exco Kesihatan Awam dan Alam Sekitar Selangor Jamaliah Jamaluddin menjelaskan pejabatnya telah mengesahkan status tanah itu bersama Jabatan Perhutanan Negeri Selangor susulan dakwaan kawasan terletak dalam DUN Kinrara dan Parlimen Subang itu masih berstatus hutan.
Menurutnya, berdasarkan rekod pewartaan, kawasan berkenaan pada asalnya sebahagian Hutan Simpan Ayer Itam yang diwartakan pada tahun 1906.
“Bagaimanapun kawasan itu telah dinyahwarta kepada tanah kerajaan dan seterusnya diberi milik pada 1926,” katanya menerusi kenyataan.
Kenyataan itu merujuk kepada laporan media berhubung ada cadangan bagi pembangunan tanah berkenaan yang menimbulkan kebimbangan dan bantahan penduduk setempat.
Mengulas lanjut, Jamaliah berkata, perkara itu turut dimaklumkan kepada Pejabat Adun Kinrara Ng Sze Han yang prihatin terhadap status tanah itu dan telah membuat permohonan rasmi untuk mendapatkan pengesahan.
Jamaliah berkata Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) turut memaklumkan pihaknya tidak pernah menerima sebarang permohonan daripada mana-mana pihak untuk memajukan atau membangunkan kawasan berkenaan, sebagaimana yang dilaporkan.
“Kerajaan negeri menghargai keprihatinan orang awam serta pertubuhan masyarakat sivil terhadap usaha pemeliharaan alam sekitar.
“Kita akan terus memastikan setiap keputusan dibuat berlandaskan fakta, peruntukan perundangan serta kepentingan jangka panjang negeri dan rakyat,” katanya.