Penduduk 44 rumah Kampung Indian Settlement setuju bina jalan, umum MB

Penduduk 44 rumah Kampung Indian Settlement setuju bina jalan, umum MB

Menteri Besar Amirudin Shari mengumumkan perkara tersebut susulan sesi libat urus bersama penduduk.

amirudin shari
Menteri Besar Amirudin Shari berkata libat urus diadakan dengan penduduk Kampung Indian Settlement berhubung pembinaan utama melibatkan jalan sepanjang 2.5km.
PETALING JAYA:
Penduduk Kampung Indian Settlement, Gombak yang menghuni 44 rumah perlu dikosongkan telah bersetuju dengan pembinaan utama melibatkan jalan sepanjang 2.5km di penempatan tersebut.

Menteri Besar Amirudin Shari mengumumkan perkembangan tersebut susulan sesi libat urus bersama penduduk dan Pejabat Daerah Gombak serta agensi terlibat, yang dipengerusikan beliau, minggu ini.

Sesi tersebut diadakan bagi menjelaskan hasrat kerajaan Selangor yang mahu kawasan itu dibangunkan secara lebih tersusun, dan mendengar maklum balas penduduk sebelum usaha itu digerakkan.

“Proses ini juga penting supaya hasrat ini tidak diputarbelitkan sebagai isu perkauman mahupun penindasan,” katanya menurut kenyataan.

Perkembangan ini menyusuli laporan tiga hari lalu, apabila Amirudin mengumumkan projek pembangunan semula melibatkan pembinaan jalan akan diteruskan, dijangka bermula selepas Thaipusam tahun depan.

Peguam mewakili penduduk, P Waytha Moorthy, turut mengumumkan semua pihak terlibat komited mencari ‘penyelesaian menang-menang’.

Komitmen itu berlatarkan penyerahan memorandum sekumpulan penduduk kepada Istana Selangor, bulan lalu, bagi memohon perlindungan daripada pengusiran yang bakal berlaku.

Amirudin menjelaskan kawasan Kampung Indian Settlement itu perlu dibangunkan dengan lebih teratur dan tersusun, kerana sebahagian rumah yang didirikan oleh penduduk terletak di atas rizab jalan.

Malah, terdapat sebahagian rumah yang didirikan tidak sepadan dengan lot yang tertera dalam geran tanah.

“Jika situasi ini dibiarkan tanpa intervensi, beberapa isu akan timbul termasuk tiada akses jalan dengan keluasan yang sewajarnya, isu pindah milik apabila tanah ingin dijual, serta terus dikesan banjir kerana kawasan ini tidak mempunyai penampan jalan serta saliran asas yang amat kritikal bagi mengelakkan takungan air hujan,” katanya.

Amirudin menjelaskan antara perkara perlu diselesaikan adalah proses sewaan bagi penduduk terkesan — sepanjang tempoh pembangunan setelah penduduk mengosongkan tapak tersebut — dan seterusnya pembinaan semula rumah-rumah yang sepadan dengan pemilikan geran tanah.

“Kerajaan negeri akan mengusahakan bantuan kepada 44 buah keluarga ini bagi meringankan beban kos sewaan dalam tempoh pembinaan jalan, saliran, perabot jalan, serta usaha tebatan banjir,” katanya.

Beliau juga mengumumkan pejabat daerah telah mengadakan rundingan bersama Syarikat Perumahan Negara Berhad bagi pembinaan semula rumah-rumah yang lebih selesa dengan kos serta mekanisme pembayaran yang mampu di pihak penduduk.

“Proses ini akan bermula pada bulan hadapan selepas perayaan Thaipusam bagi menghormati keperluan persiapan perayaan dan memberikan tempoh secukupnya kepada penduduk,” katanya.

Pada 15 Dis lalu, Amirudin mengumumkan kerajaan negeri memperuntukkan RM10 juta bagi pembangunan semula Kampung Indian Settlement, Batu Caves, dengan tumpuan menyediakan penempatan lebih selesa serta prasarana asas yang tersusun.

Projek itu akan dilaksanakan oleh Majlis Perbandaran Selayang, dengan tempoh pelaksanaan selama setahun. Skop pembangunan merangkumi pelebaran jalan sepanjang 2.5km, pemasangan lampu jalan serta pembinaan sistem perparitan baharu.

Media Selangor melaporkan bahawa kerajaan negeri telah mencapai persefahaman dengan penduduk, dan kebanyakan mereka termasuk 44 keluarga yang terlibat bagi memberi laluan kepada pembinaan jalan, ‘secara prinsipnya bersetuju dengan pelaksanaan projek berkenaan’.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.