Tiba masa bincang serius pengampunan Najib, kata ahli DAP

Tiba masa bincang serius pengampunan Najib, kata ahli DAP

Ong Kian Ming berkata langkah itu boleh menjadi permulaan bagi penyusunan semula politik.

najib razak
Bekas perdana menteri Najib Razak kini sedang menjalani hukuman penjara atas sabitan salah guna RM42 juta dana SRC International.
PETALING JAYA:
Ong Kian Ming dari DAP berkata sudah tiba masanya membuka perbincangan serius mengenai kemungkinan pemberian pengampunan penuh kepada bekas perdana menteri Najib Razak, yang kini menjalani hukuman penjara kerana kes rasuah.

Bekas Ahli Parlimen Bangi itu mengimbas kembali kenyataannya dua tahun lalu bahawa pengampunan penuh untuk Najib adalah ‘garisan merah’ bagi DAP.

“Lebih dua tahun berlalu, terutamanya selepas pelepasan tanpa pembebasan (DNAA) diberikan kepada timbalan perdana menteri Zahid Hamidi, saya kurang pasti lagi mengenai ‘garisan merah’ itu,” katanya dalam kenyataan.

Ong berkata pandangannya mengenai pengampunan penuh untuk perdana menteri keenam negara ini dipengaruhi oleh cadangan ‘pengampunan menyeluruh’ yang kali pertama pertama dicadangkan Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin pada 2023.

Cadangan itu bukan sahaja termasuk pengampunan penuh untuk Najib, mungkin selepas kes 1MDB selesai, tetapi juga pembatalan kes-kes yang sedang berjalan terhadap bekas menteri kewangan Lim Guan Eng dan bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin.

Ong turut merujuk kepada rayuan kerajaan dalam kes rasuah bekas menteri belia dan sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman serta usaha mendapatkan aset bekas menteri kewangan Daim Zainuddin yang telah meninggal dunia.

“Ini akan membuka ruang untuk apa yang Khairy sebut sebagai ‘reset politik’, supaya kita dapat menghentikan proses mengekori lawan politik menggunakan instrumen kerajaan apabila satu pihak berkuasa,” katanya.

“Dalam pemikiran saya yang agak naif dan idealistik, saya berharap ini boleh menjadi sebahagian daripada proses ke arah kematangan politik yang lebih tinggi yang amat diperlukan untuk negara ini.”

Ahad lalu, Zahid yang juga presiden Umno berharap Najib diberikan segera pengampunan diraja.

Menurutnya, Najib telah menjalani tiga tahun hukuman penjara dan wajar diberikan pertimbangan sewajarnya untuk pengampunan penuh.

Najib disabitkan kesalahan salah guna RM42 juta dana SRC International dan mula menjalani hukuman di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022. Beliau memohon pengampunan diraja pada 2 September 2022.

Pada 2 Februari 2024, lembaga pengampunan mengumumkan hukuman penjara Najib dipendekkan daripada 12 tahun kepada enam tahun, dan denda dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta.

Semalam, ketika menolak permohonan Najib untuk menjalani baki hukuman di bawah tahanan rumah, Hakim Mahkamah Tinggi Alice Loke, berkata Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan telah memberi nasihat mengenai cadangan pengampunan penuh serta pengurangan 50% hukuman penjara itu.

Ahli Majlis Tertinggi Umno, Ahmad Maslan, kemudian dilaporkan berkata parti itu akan terus berusaha untuk pembebasan Najib dan pengampunan penuh.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.