Bubar PN, Akmal mahu PAS hidupkan semula MN

Bubar PN, Akmal mahu PAS hidupkan semula MN

Ketua Pemuda Umno berkata PAS sudah 'ditikam belakang' susulan krisis menteri besar Perlis.

Muhamad Akmal Saleh
Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Saleh mengajak PAS kembali menghidupkan Muafakat Nasional (MN) yang terhenti selepas Perikatan Nasional (PN) ditubuhkan bersama Bersatu.
PETALING JAYA:
Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Saleh berkata kemelut politik Perlis membuktikan pendiriannya sejak awal Muafakat Nasional (MN) lebih sesuai diperkasakan, berbanding Perikatan Nasional (PN).

“Hari ini baru nampak belang masing-masing, kena tikam belakang,” katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, beliau juga mencadangkan agar PN dibubar dan diwujudkan semula MN.

Sementara itu, Ketua Penerangan PAS Ahmad Fadhli Shaari bersetuju dengan cadangan Akmal untuk menghidupkan semula MN dan berkata, ini adalah kunci kekuatan dan kebangkitan semula perpaduan ummah.

“Sebaik sahaja Umno-Barisan Nasional isytihar keluar gabungan bersama PH, kita lancarkan terus MN,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Katanya, rundingan (lancar MN) perlu kembali dihidupkan dengan menubuhkan jawatankuasa perunding.

Terdahulu, Speaker DUN Perlis, Rus’ele Eizan mengumumkan kekosongan luar jangka di DUN Chuping, Bintong, dan Guar Sanji selepas tiga wakil rakyatnya terhenti keahlian PAS.

Beliau berkata, walaupun tempoh penggal sudah matang iaitu melebihi tiga tahun, pihaknya berpendapat terdapat keperluan diadakan PRK tiga DUN berkenaan berikutan terjejasnya sokongan terhadap kerajaan negeri semasa.

Katanya, status kekosongan kerusi tersebut akan dimaklumkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam masa terdekat.

Semalam, PAS mengumumkan keahlian tiga Adun di Perlis terhenti serta-merta.

Presiden Hadi Awang mengumumkan keahlian Saad Seman (Chuping), Anwar Ismail (Bintong), dan Ridzuan Hashim (Guar Sanji) terhenti, selepas mesyuarat Jawatankuasa Kerja PAS pusat.

Mereka didakwa menyertai Adun Bersatu mengemukakan akuan berkanun (SD) kepada Raja Perlis bagi menyatakan menarik balik sokongan terhadap Menteri Besar Shukri Ramli.

Satu-satunya wakil Pakatan Harapan (PH) di Perlis, Adun Indera Kayangan, Gan Ay Ling, juga dipercayai mengemukakan SD kepada baginda.

Perikatan Nasional (PN) menguasai 14 daripada 15 kerusi dalam DUN Perlis, dengan PAS memiliki sembilan kerusi dan Bersatu lima.

Kehilangan sokongan lapan Adun bermakna Shukri kehilangan majoriti DUN Perlis.

Namun, pengosongan kerusi tiga Adun itu menyebabkan keadaan menjadi semakin tidak menentu.

Setakat ini, Shukri hanya mempunyai sokongan enam Adun PAS, manakala lima Adun Bersatu berada di blok pembangkang.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.