
Pemimpin itu, yang enggan dinamakan, berkata usaha menjadikan Zahid sebagai kambing hitam atas kesukaran yang dihadapi BN adalah tindakan yang tidak wajar.
Menurutnya, cabaran yang dihadapi BN berkait rapat dengan perubahan landskap politik negara dan bukan berpunca daripada seorang individu semata-mata.
“Di bawah kepimpinan Zahid, Umno dan BN masih menjadi sebahagian daripada kerajaan dan terus memainkan peranan menstabilkan,” katanya kepada FMT.
“Memang mudah untuk menuding jari kepada Zahid, tetapi hakikat yang tidak selesa ialah MIC tidak begitu banyak menyumbang dalam pilihan raya kebelakangan ini.”
Pada PRU 2022, MIC hanya memenangi satu kerusi Parlimen iaitu Tapah.
Mengulas cadangan pemimpin MIC supaya parti itu keluar BN sekiranya terus dipinggirkan, pemimpin berkenaan berkata MIC masih belum mengemukakan sebarang reformasi yang meyakinkan bagi meraih semula keyakinan rakyat.
Beliau turut menyatakan bahawa parti itu berdepan ketidakpuasan hati yang semakin meningkat dalam kalangan komuniti India sendiri.
“Terdapat persepsi bahawa sesetengah pemimpin terputus hubungan dengan realiti kehidupan harian seperti pekerjaan, pendidikan dan kos sara hidup. Pengundi menyedari jurang itu,” katanya.
Pada Jumaat, bekas naib presiden MIC T Mohan berkata Zahid dianggap sebagai ‘beban’ kepada BN dan sudah tiba masanya presiden Umno itu berundur sebagai pengerusi gabungan tersebut.
Mengulas label ‘beban’ itu, pemimpin BN berkenaan berkata MIC sepatutnya menilai dirinya sendiri dan bertanya apakah sumbangan sebenar parti itu kepada BN.
“Mana-mana parti yang terus bergantung kepada kegemilangan lampau, mengelak reformasi dalaman dan mengugut untuk keluar berisiko menjadi beban,” katanya.
Beliau berkata parti politik tidak lagi boleh bergantung kepada nostalgia, sebaliknya perlu menampilkan diri sebagai parti yang berwibawa dan boleh dipercayai.
(sub-head) Tiada kata putus
Pemimpin itu turut menolak dakwaan bahawa Zahid telah mengeluarkan kata putus kepada MIC, sambil menjelaskan bahawa pengerusi BN itu hanya mahukan kejelasan.
Pada mesyuarat agung tahunan bulan lalu, perwakilan MIC memutuskan untuk menangguhkan keputusan sama ada mahu keluar atau kekal dalam BN. Presiden parti, SA Vigneswaran, mengesahkan bahawa semua usul, termasuk usul untuk keluar daripada BN, akan dirujuk kepada jawatankuasa kerja pusat untuk pertimbangan.
Zahid sebelum ini berkata status MIC akan dibincangkan pada mesyuarat Majlis Tertinggi BN tahun depan, namun kemudian memberi amaran bahawa BN akan menentukan nasib MIC sekiranya parti itu terus berbolak-balik.
Menurut pemimpin BN berkenaan, pendirian Zahid itu mencerminkan disiplin asas dalam sesebuah gabungan, bukannya keangkuhan peribadi.
“Mana-mana gabungan memerlukan kejelasan. Tanpa itu, kepercayaan akan runtuh,” katanya.
Beliau juga menolak dakwaan bahawa MIC berhak mendapat jawatan menteri, dengan menyatakan hujah sedemikian mengabaikan realiti pilihan raya.
“Jawatan menteri adalah berdasarkan mandat, bukan legasi. Tanpa sokongan pengundi, tuntutan jawatan lebih menyerupai keistimewaan elit daripada hak demokratik,” katanya.