
Ditubuhkan susulan pelaksanaan Dasar Bioteknologi Negara (DBN) pada 2005 dan diperkukuh menerusi Dasar Bioteknologi Negara 2.0 (DBN 2.0) pada 2022, agensi di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti) itu menerajui pembangunan ekosistem bioekonomi Malaysia.
Menerusi dua program utama iaitu Status BioNexus dan Bio-based Accelerator (BBA), Bioeconomy Corporation telah memudah cara lebih RM14.6 bilion pelaburan diluluskan, menjana lebih 16,600 peluang pekerjaan serta menyokong hampir 650 syarikat di seluruh negara.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang berkata pencapaian dua dekad itu mencerminkan keyakinan berterusan kerajaan terhadap keupayaan Bioeconomy Corporation dalam memacu daya saing bioekonomi Malaysia di peringkat global.
Beliau berkata, pada 2025 sahaja, nilai pelaburan dan komersial di bawah seliaan agensi itu meningkat hampir 60% kepada lebih RM2.44 bilion berbanding RM1.55 bilion pada 2024.
“Dengan sokongan Mosti, Bioeconomy Corporation terus memacu pelaksanaan DBN 2.0 bagi meletakkan Malaysia sebagai negara bioinovasi berteknologi tinggi menjelang 2030,” katanya sambil menambah fokus lima tahun akan datang tertumpu kepada enam subsektor bernilai tinggi dan berpotensi pertumbuhan pesat.
Subsektor itu merangkumi protein generasi baharu, pembiakan regeneratif, bahan lestari, bahan kimia berasaskan-bio, perubatan regeneratif dan diagnostik ketepatan, sejajar dengan Rancangan Malaysia Ke-13 (2026–2030) serta pertumbuhan ekonomi biru, hijau dan perak.

Ketua Pegawai Eksekutif Bioeconomy Corporation Mohd Khairul Fidzal Abdul Razak berkata kejayaan dicapai hasil sokongan kukuh MOSTI dan kerjasama erat bersama kementerian, agensi tempatan serta antarabangsa, industri, institusi akademik dan rakan strategik.
Beliau berkata, tahun ini agensi itu menyasarkan penjanaan sekurang-kurangnya RM2.2 bilion hasil daripada syarikat Status BioNexus dan BBA, selain meneroka penggunaan teknologi digital dan kecerdasan buatan (AI) bagi mempercepatkan pertumbuhan syarikat.
Sejak 2005, Bioeconomy Corporation turut membantu syarikat tempatan menembusi pasaran global, melahirkan unicorn bioteknologi pertama Malaysia, menyokong penyenaraian 18 syarikat di bursa tempatan dan antarabangsa.
Ia juga menyediakan lebih 1,900 peluang pekerjaan sejak 2021, sekali gus menjadikan bioekonomi tonggak penting pembangunan mampan negara.