
Ibunya, Ruhani Hussin, 71, berkata, sudah lima bulan berlalu sejak siasatan berhubung kes itu dibuka semula, iaitu pada Ogos tahun lepas.
“Sehingga kini kes anak saya masih menjadi tanda tanya walaupun siasatan dibuka semula dengan arahan menteri dalam negeri pada Ogos lalu.
“Namun sehingga kini saya tidak mengetahui perkembangan hasil siasatan susulan siasatan semula dijalankan,” katanya, lapor Berita Harian.
“Saya hanya mengikut perkembangan menerusi media dan saya difahamkan laporan siasatan pun belum diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara.”
Pada 17 Nov lepas, Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail berkata, keterangan daripada 68 saksi telah dirakam sebagai sebahagian siasatan semula terhadap kes kematian pelajar Tingkatan Empat itu.
Katanya, siasatan dibuka semula bagi memenuhi tuntutan orang awam dan pihak keluarga untuk menjamin proses yang telus, mengikut prosedur operasi standard (SOP) serta menegakkan keadilan.
Pada 8 Dis, Peguam Negara Dusuki Mokhtar menyatakan, pihaknya akan meneliti hasil siasatan sebaik ia selesai bagi menentukan faktor yang menyumbang kepada kematian Wan Ahmad Faris, sama ada melibatkan unsur jenayah atau tidak.
Remaja itu ditemukan meninggal dunia di dalam tandas asrama Maahad Tahfiz Sains Nurul Aman di Kok Lanas, Kelantan, pada 14 Dis 2013.
Walaupun pakar patologi forensik pada awalnya mengklasifikasikan kes sebagai mati mengejut tanpa unsur jenayah, mahkamah koroner pada Jun 2016 memutuskan bahawa Wan Ahmad Faris sebenarnya telah dibunuh.