Kerajaan tak bincang potong kuota BUDI95 ikut pendapatan

Kerajaan tak bincang potong kuota BUDI95 ikut pendapatan

Ketua Setiausaha Perbendaharaan Johan Mahmood Merican kata keutamaan kerajaan ketika ini analisis data dan hapuskan kebocoran.

Petrol 95
Ketua Setiausaha Perbendaharaan Johan Mahmood Merican berkata ia bagi membolehkan lebih ramai rakyat Malaysia memanfaatkan BUDI95, daripada terlibat dalam perdebatan panjang.
PETALING JAYA:
Kerajaan tidak akan mengurangkan kuota petrol BUDI95 berdasarkan kelas pendapatan meskipun terdapat cadangan untuk mekanisme subsidi bersasar lebih tepat, kata Ketua Setiausaha Perbendaharaan Johan Mahmood Merican.

Johan berkata keutamaan kerajaan ketika ini ialah menganalisis data yang dikumpul sejak pelaksanaan program BUDI95 bagi menilai keberkesanannya, lapor Bernama.

“Kita perlu menganalisis data terlebih dahulu bagi mengenal pasti sebarang penggunaan luar biasa yang berpotensi sebelum mempertimbangkan perubahan terhadap parameter.

“Ia merupakan satu perubahan yang besar buat negara, justeru kami tidak ingin melakukan terlalu banyak pelarasan dalam tempoh jangka pendek,” katanya semasa sesi sembang santai pada Hari Korporat Tahunan Malaysia ke-18 anjuran CGS International.

Johan Mahmood Merican.

Katanya lagi, kerajaan kini menumpukan usaha untuk menghapuskan kebocoran terlebih dahulu sama ada daripada pengguna warga asing atau syarikat yang menggunakan bahan api bersubsidi.

Katanya, ia bagi membolehkan lebih ramai rakyat Malaysia memanfaatkan BUDI95, daripada terlibat dalam perdebatan panjang.

“Sama ada kita perlu mewujudkan mekanisme berperingkat, contohnya individu berpendapatan melebihi RM20,000 tidak lagi menerima manfaat ini, perkara itu tidak dibincangkan buat masa ini,” katanya.

Bagi kuota 300l BUDI95, beliau berkata data kerajaan menunjukkan purata penggunaan kira-kira 83l sebulan, dan 90%s penerima menggunakan kurang daripada 200l sebulan.

Program BUDI95 diperkenalkan pada penghujung September 2025 bagi memastikan subsidi petrol RON95 hanya dinikmati oleh rakyat Malaysia yang layak, di samping membendung ketirisan kepada warga asing dan entiti komersial.

Di bawah BUDI95, warganegara Malaysia berumur 16 tahun ke atas yang memiliki lesen memandu sah boleh membeli sehingga 300l petrol RON95 sebulan pada harga bersubsidi RM1.99 seliter.

Sebarang pembelian bahan api melebihi kuota tersebut akan dikenakan harga pasaran.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.