
Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Sirajuddin Suhaimee, berkata pihaknya memandang serius penganjuran program dikaitkan dengan usaha menormalisasikan perlakuan seks songsang yang jelas bercanggah ajaran Islam serta nilai akhlak dan budaya masyarakat dalam negara.
Katanya, perbuatan sedemikian turut bertentangan kerangka perundangan sedia ada dan merupakan kesalahan bawah Akta Kesalahan Jenayah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 serta beberapa peruntukan dalam Kanun Keseksaan berkaitan kesalahan seks luar tabii.
“Perkara ini sememangnya telah berada dalam pemantauan rapi Jakim bersama Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) dan polis.
“Pihak berkuasa memandang serius dan tidak akan berkompromi terhadap penganjuran atau pelaksanaan program didapati bercanggah ajaran Islam, peruntukan undang-undang serta ketenteraman awam dan tindakan tegas akan diambil selaras undang-undang yang sedang berkuat kuasa,” katanya dalam kenyataan.
Semalam, Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan Selangor Mohd Najwan Halimi berkata kerajaan negeri menggesa pihak berkuasa menjalankan siasatan terhadap penganjuran program ‘Glamping With Pride’ di Hulu Langat yang akan diadakan minggu depan dan tidak akan berkompromi dengan sebarang cubaan menyebar dan mempromosikan budaya LGBT di negeri itu.
Sebelum ini, media melaporkan tindakan kumpulan terbabit yang berhasrat meneruskan program ‘Glamping With Pride’ pada hujung minggu depan walaupun mendapat bantahan pelbagai pihak.
Sementara itu, Sirajuddin berkata Jakim akan terus memperkukuh usaha penerangan, pendidikan dan pencegahan kepada masyarakat, khususnya umat Islam, supaya tidak terpengaruh atau menormalisasikan perlakuan songsang sebagai gaya hidup.
“Sebarang perlakuan dan amalan yang jelas bercanggah ajaran Islam tidak akan dikompromi. Semua pihak dinasihatkan mematuhi undang-undang dan menyerahkan sebarang isu berkaitan kepada pihak berkuasa agama Islam untuk tindakan selanjutnya,” katanya.