Naik had usia ahli mampu elak hilang pelapis, kata ketua Puteri Umno

Naik had usia ahli mampu elak hilang pelapis, kata ketua Puteri Umno

Nurul Amal Mohd Fauzi berkata cadangan menaikkan had usia ahli Puteri Umno kepada 40 tahun bukan bersifat emosi atau sementara tetapi menjadi keperluan strategik.

Nurul Amal Mohd Fauzi
Ketua Puteri Umno Nurul Amal Mohd Fauzi berkata sayap itu mahu kepimpinan wanita muda yang telah melalui proses latihan dan pengalaman parti terus dimanfaatkan dalam parti.
KUALA LUMPUR:
Puteri Umno mencadangkan had usia keahlian sayap itu dinaikkan kepada 40 tahun bagi menjamin kesinambungan kepimpinan dan kelangsungan perjuangan parti.

Ketuanya Nurul Amal Mohd Fauzi berkata cadangan itu bukan bersifat emosi atau sementara, sebaliknya keperluan strategik untuk memastikan bakat yang telah dilatih dalam Puteri tidak terpinggir apabila melepasi had usia sedia ada.

“Kami mahu memastikan pelapis yang telah dilatih dalam Puteri tidak hilang begitu sahaja apabila mereka meningkat usia.

“Langkah ini bukan sahaja menjaga kesinambungan, tetapi mengelakkan kerugian besar kepada parti,” katanya menyampaikan ucapan dasar Perhimpunan Agung Pergerakan Puteri Umno, hari ini.

Nurul Amal berkata sayap itu mahu kepimpinan wanita muda yang telah melalui proses latihan dan pengalaman parti terus dimanfaatkan, khususnya ketika Umno berdepan keperluan mendesak untuk membina semula keyakinan rakyat.

Menurutnya, kelangsungan Umno tidak boleh bergantung kepada tradisi dan nostalgia semata-mata, sebaliknya memerlukan perubahan dan penyesuaian dengan realiti politik semasa.

“Survival Umno bukan sekadar bertahan, tetapi beradaptasi untuk kembali relevan dan diyakini rakyat,” katanya.

Beliau turut menegaskan sebarang keputusan berkaitan hala tuju parti, termasuk struktur sayap, perlu dibuat berasaskan kajian menyeluruh dan bukan didorong emosi, bagi mengelakkan ketidakstabilan politik.

Cadangan menaikkan had usia Puteri Umno itu bagaimanapun bukan perkara baharu dan pernah mencetuskan perbezaan pandangan dalam parti.

Bekas ketuanya Rosnah Abdul Rashid Shirlin sebelum ini dilaporkan tidak bersetuju dengan cadangan itu yang dibimbangi membantutkan usaha melahirkan pemimpin muda.

Rosnah, yang menerajui sayap itu dari 2009 hingga 2013, berkata Puteri Umno seharusnya kekal sebagai platform melatih pemimpin muda, khususnya bagi mendekati pengundi berusia 18 tahun ke atas susulan pelaksanaan Undi18.

Beliau juga berpandangan kenaikan had usia berpotensi mewujudkan pertindihan peranan antara Puteri dan Wanita Umno.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.