Kerajaan sedia tapak baharu kuil, kata Yeoh

Kerajaan sedia tapak baharu kuil, kata Yeoh

Menteri Wilayah Persekutuan berkata kelulusan mula pembinaan di tapak baharu Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman dikeluarkan awal bulan ini.

Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman
Pemindahan Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman berusia 130 tahun di kawasan Jalan Masjid India menjadi subjek kontroversi dengan perdebatan hangat mengenai hak milik tanah.
KUALA LUMPUR:
Pemberian tapak baharu oleh kerajaan bagi pemindahan semula Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman di Masjid India adalah sesuatu yang belum pernah berlaku, menurut Menteri Wilayah Persekutuan Hannah Yeoh.

“Saya fikir ini tidak pernah berlaku lagi untuk kerajaan sedia tapak baharu,” katanya pada sidang media.

Yeoh berkata, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah meluluskan pelan bangunan bagi tapak baharu berkenaan, yang terletak dalam jarak berjalan kaki dari kuil asal, pada September lalu. Tanah itu telah digazetkan pada Disember sebagai rumah ibadat bukan Islam.

Beliau berkata, kelulusan memulakan kerja pembinaan di tapak tersebut telah dikeluarkan pada awal bulan ini, dan perbincangan kini tertumpu kepada penyelarasan proses serta tempoh masa pemindahan mengambil kira upacara keagamaan yang terlibat.

Yeoh turut menzahirkan penghargaan kepada pendahulunya serta bekas Datuk Bandar Kuala Lumpur atas peranan mereka dalam memudahkan penyediaan tapak baharu itu.

Beliau berkata, kerjasama semua pihak termasuk jawatankuasa kuil dan pihak pemaju adalah sangat penting dalam memastikan penyelesaian adil dan harmoni dicapai.

Pemindahan kuil berusia 130 tahun itu menjadi subjek kontroversi, terutamanya sepanjang tahun lalu dengan perdebatan hangat mengenai status hak milik tanah didudukinya.

Tahun lalu, DBKL mengesahkan mereka sudah mengenal pasti tapak baharu untuk kuil berkenaan dan memberi jaminan tiada aktiviti perobohan akan dilakukan sehingga proses pemindahan selesai sepenuhnya.

Dalam perkembangan berasingan, Hannah Yeoh memaklumkan beliau telah mempengerusikan mesyuarat pertama Majlis Menteri Wilayah Persekutuan bersama Ahli Parlimen Kuala Lumpur hari ini. Beliau menyifatkan langkah itu usaha menginstitusikan kerjasama tetap dalam tadbir urus bandar raya serta keputusan dasar.

Majlis berkenaan akan bermesyuarat empat kali setahun, dengan Ahli Parlimen terlibat secara berpusat dalam proses membuat keputusan.

Yeoh berkata, DBKL telah membentangkan Bajet 2026 dalam mesyuarat tersebut. Beliau menegaskan Ahli Parlimen akan memantau pelaksanaannya secara aktif bagi memperkukuh akauntabiliti dan memastikan dana awam digunakan secara berkesan.

Katanya, lima jawatankuasa pemantau ditubuhkan khusus menyelia sektor pembangunan dan perkhidmatan utama di Kuala Lumpur. Langkah ini bertujuan memastikan setiap aduan rakyat dan projek infrastruktur mendapat perhatian terus daripada pembuat dasar.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.