
Penyelesaian itu direkodkan di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Khadijah Idris selepas peguam kedua-dua pihak memaklumkan kepada mahkamah bahawa satu penyelesaian secara baik telah dicapai.
“Terma penghakiman persetujuan direkodkan oleh mahkamah. Sehubungan itu, saman sivil plaintif ditarik balik tanpa perintah kos dan tanpa kebenaran untuk memfailkan semula,” kata hakim.
Terdahulu, Thomas melalui peguamnya, Alan Adrian Gomez, memberitahu mahkamah bahawa beliau tidak mengetahui sebarang bukti yang mengaitkan Najib dengan pembunuhan model Mongolia, Altantuya Shaariibuu, sejak penerbitan bukunya pada 2021.
“Saya berpegang kepada kenyataan dan pandangan yang dinyatakan dalam Bab 42 buku saya, ‘My Story: Justice in the Wilderness’, bahawa akuan berkanun Sirul Azhar Umar dan Azilah Hadri saling mengesahkan antara satu sama lain.
“Bagaimanapun, saya menerima bahawa sejak penerbitan buku saya pada 2021, saya tidak mengetahui sebarang bukti yang mengaitkan Najib dengan pembunuhan Altantuya, walaupun saya difahamkan siasatan dijalankan sejak penerbitan buku itu,” katanya.
Tambah Thomas, beliau akan memasukkan kenyataan tersebut sekiranya bukunya itu dicetak atau diterbitkan semula.
“Sekiranya buku saya dicetak atau diterbitkan semula, kenyataan di atas akan dinyatakan dalam buku berkenaan pada halaman yang sama dengan penerbitan kenyataan yang dipertikaikan, yang kini tertera pada halaman 404 hingga 405,” katanya.
Najib menyaman Thomas dan Gerakbudaya berhubung kenyataan yang didakwa berunsur fitnah dalam Bab 42 bertajuk ‘Altantuya’ dalam buku Thomas yang diterbitkan pada awal 2021.
Bekas Ahli Parlimen Pekan itu menuntut ganti rugi yang tidak dinyatakan, penghapusan perkataan yang didakwanya bersifat fitnah, satu permohonan maaf, serta injunksi kekal bagi menghalang penerbitan selanjutnya kenyataan sedemikian.
Najib diwakili oleh Shafee Abdullah manakala R Gokul mewakili Gerakbudaya.
Thomas turut diwakili oleh Mervyn Lai dan Haikaldin Mahyidin.