
Ahli Majlis Pimpinan Negeri, Nor Azrina Surip, berkata beliau keliru dengan dakwaan Ketua Penerangan Umno Kedah, Shaiful Hazizy Zainol Abidin, bahawa kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) seolah-olah tidak wujud.
Menurutnya, hubungan antara PH dan Barisan Nasional (BN) di Kedah antara paling harmoni, serta mereka terawal mengadakan konvensyen yang setuju menubuhkan sekretariat bagi merancang gerak kerja.
“Saya tak rasa teruk sangatlah perpaduan dan tak tepat kalau nak kata tiada apa,” kata bekas ketua PKR Kedah itu kepada FMT.
Isnin lalu, FMT melaporkan kenyataan Shaiful yang mendakwa hubungan BN dan PH seolah-olah tidak wujud di Kedah. Beliau juga mendakwa ada usaha menjadikan BN tidak lagi relevan dengan mengenepikan peranannya dalam inisiatif membantu rakyat.
Justeru, Shaiful mencadangkan Umno Kedah diberikan autonomi dalam memutuskan kerjasama dengan mana-mana parti atau bergerak solo pada PRU16.
Azrina bagaimanapun menafikan dakwaan Umno tidak diberi peranan dalam pembangunan Kedah.
Menurutnya, wakil Umno turut dilantik ke jawatankuasa pembangunan dan keselamatan kampung persekutuan (JPKKP), yang mana agihan dibuat secara adil.
“Kalau ada menteri turun Kedah kita lazimnya memaklumkan dan menjemput BN. Dalam isu banjir pun mereka turut terbabit,” katanya.
Pada PRN 2023, kerjasama BN dan PH hanya menang tiga kerusi dengan dua DUN dimenangi PKR (Bakar Arang dan Sidam) manakala satu DAP (Kota Darul Aman).
Perikatan Nasional (PN) yang diketuai PAS pula menang 33 kerusi, menyaksikan Sanusi Nor meneruskan tugas sebagai menteri besar untuk penggal kedua.