
Pengerusi Tan Yew Sing beritahu FMT bahawa beliau menyambut baik pengumuman itu, menyifatkannya sebagai isyarat dasar yang luas yang mencerminkan pendekatan inklusif berhubung pendidikan dan pembangunan bakat.
Bagaimanapun, Tan berkata butiran mengenai pelaksanaan dasar tersebut tidak jelas, antaranya kerana Anwar tidak menyatakan sama ada kurikulum Sijil Peperiksaan Bersama (UEC) perlu ditanda aras pada sukatan pelajaran kebangsaan.
“Pengumuman itu tidak menjelaskan sama ada pelajar dikehendaki lulus, mencapai gred tertentu, atau sekadar mempelajari subjek tersebut,” kata Tan.
“Persoalan masih timbul tentang pelajar mana yang tertakluk pada dasar ini, contohnya adakah ia terpakai pada pelajar sekolah antarabangsa yang mungkin tidak bercadang untuk memasuki universiti tempatan.”
“Dasar ini nampak bagus pada tahap makro, tetapi butiran pelaksanaan yang konkrit amat diperlukan.”
Anwar hari ini mengumumkan semua aliran sekolah, termasuk sekolah antarabangsa, sekolah agama dan sekolah yang menawarkan UEC, wajib mengambil subjek bahasa Melayu dan sejarah Malaysia.
Katanya, laluan pelajar sekolah berkenaan untuk ke pendidikan tinggi tidak lagi harus menjadi kontroversi dengan kaedah ini.
UEC diberikan bagi Peperiksaan Bersama yang dijalankan di sekolah-sekolah menengah persendirian Cina, dan pada masa ini tidak diiktiraf untuk kemasukan terus ke universiti awam.
UEC diterima di Sabah dan Sarawak untuk kemasukan ke universiti kendalian negeri dan perkhidmatan awam negeri.
Dalam satu kenyataan, Tan menegaskan bahawa Dong Zong mendukung Perlembagaan Persekutuan dan Perkara 152 yang memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.
Beliau berkata Dong Zong juga mengakui bahawa menguasai dan menghargai bahasa Melayu adalah tanggungjawab yang perlu dipenuhi oleh setiap warganegara.
Tan menekankan bahasa Melayu menjadi subjek wajib di semua sekolah menengah persendirian Cina sejak sekian lama, dan komponen teras dalam kurikulum dan sukatan pengajaran UEC.
Menurutnya, pelajar sekolah menengah persendirian Cina secara konsisten mencapai kadar kelulusan melebihi 96% dalam subjek bahasa Melayu sejak kebelakangan ini.
“Sebarang dakwaan bahawa sistem sekolah menengah persendirian Cina meminggirkan atau tidak mementingkan bahasa Melayu adalah mengetepikan fakta dan tidak berasas,” katanya.