
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT), Puad Zarkashi, berkata tindakan berterusan memainkan sentimen ‘UmDAP’ menunjukkan kedua-duanya lebih selesa mengeksploitasi emosi orang Melayu sehingga sanggup menolak platform rentas parti demi kepentingan rakyat.
“Itu bukti Bersatu dan PAS adalah parti cauvinis. Sebenarnya mereka yang gagal mengurus hubungan dengan parti bukan Melayu.
“Kedua-duanya parti pengecut, tidak berani bersemuka dan berhujah secara berdepan dengan DAP. Mereka hanya mampu bermain dengan emosi dan naratif songsang,” katanya kepada FMT.
Berbeza dengan Umno yang mempunyai rekod prestasi panjang dalam kerjasama politik bermula era Perikatan hingga Barisan Nasional (BN), Puad mendakwa tindakan PAS dan Bersatu bukti mereka sebenarnya tidak berminat dengan agenda pengukuhan politik Melayu yang lebih besar.
“Umno wajar menawarkan kolaborasi agung ini sebagai platform membina kefahaman rakyat yang merentasi garis gabungan kepartian. Ia bukan sebuah gabungan politik baharu, sebaliknya satu langkah ke hadapan yang selari semangat kerajaan perpaduan hari ini,” katanya.
Terdahulu, FMT melaporkan Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin menolak sebarang pembentukan ‘kolaborasi agung’ Melayu, selagi Umno terus bekerjasama dengan DAP.
Muhyiddin berkata, beliau terbuka untuk rundingan namun ia tidak boleh membabitkan DAP, kecuali ada penjelasan dan tujuan jelas.
Manakala, Naib Presiden PAS Idris Ahmad pula berkata parti itu sedia menyertai kolaborasi agung dicadangkan dengan syarat tidak membabitkan DAP.
Pada Perhimpunan Agung Umno 2025 minggu lalu, Zahid mencadangkan kolaborasi agung untuk menyatukan parti Melayu-Islam bawah satu payung.
Katanya, cadangan itu tidak akan menggugat kerajaan perpaduan dan akan bermula sebagai pakatan tidak rasmi tanpa perlu membubarkan parti.
Menurutnya, belum ada jawatankuasa untuk kerjasama dicadangkan tetapi Umno akan mengadakan pertemuan dengan pemimpin tertinggi parti Melayu dan Islam lain.
Sebelum ini, terdapat usaha menyatukan parti Melayu-Islam termasuk melalui Muafakat Nasional (MN) dibentuk Umno dan PAS pada 2019, serta inisiatif diketuai bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad.