
Mengikut pertuduhan M Kajen, 22, didakwa memandu kereta jenis Toyota Vios dengan kandungan alkohol dalam badan 166mg per 100 mililiter darah, iaitu melebihi had dibenarkan.
Kesalahan itu dilakukan di Pintu 2, Istana Negara, di Jalan Changkat Semantan, kira-kira 3.50 pagi tadi dan didakwa mengikut Seksyen 45A(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan denda maksimum RM10,000 atau penjara maksimum lima tahun serta hilang kelayakan lesen hingga lima tahun, jika sabit kesalahan.
Pegawai Pendakwa Shazwan Hasifi Shahrun menawarkan jaminan RM10,000, namun tertuduh merayu jumlah jaminan minimum kerana masih menyambung pengajian dalam peringkat ijazah, selain bukan berasal daripada keluarga berpendapatan tinggi.
Majistret Khairunnisak Hassni membenarkan tertuduh diikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 26 Feb ini sebagai tarikh sebutan kes untuk serahan dokumen.
Terdahulu, Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Mohd Zamzuri Mohd Isa, dalam kenyataan memaklumkan kejadian berlaku pada 3.30 pagi semasa lelaki berusia 21 tahun itu memandu Toyota Vios dari arah Bukit Damansara.
Tiada kecederaan dilaporkan dalam kemalangan itu yang menyebabkan kerosakan pada bahagian depan kereta dan bollard pole serta barrier gate.