3 beregu Malaysia mara ke final Indonesia Masters

3 beregu Malaysia mara ke final Indonesia Masters

Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani lengkap hari gemilang buat skuad badminton negara di Jakarta.

sze fei
Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani kali terakhir sampai ke peringkat akhir pada Terbuka Jepun pada July 2025. (Gambar EPA Images)
PETALING JAYA:
Pasangan beregu lelaki negara Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani mara dengan mudah ke peringkat akhir Indonesia Masters selepas menewaskan pencabar dari Denmark dalam masa hanya 28 minit.

Gandingan nombor sembilan dunia itu, yang kali terakhir melangkah ke final Jelajah Dunia di Terbuka Jepun pada Julai lalu, menundukkan Daniel Lundgaard-Mads Vestergaard 21-9, 21-15 di Istora Senayan.

Sze Fei-Izzuddin perlu berdepan sorakan gemuruh penyokong tuan rumah apabila mereka dijadualkan bertemu pasangan kegemaran tempatan, Sabar Karyaman Gutama-Reza Pahlevi Isfahani, di final esok.

Kejayaan itu menyaksikan mereka menyertai beregu campuran Chen Tang Jie-Toh Ee Wei dan beregu wanita Pearly Tan-M Thinaah yang telah menempah slot final lebih awal.

Sementara itu, pemain perseorangan wanita negara K Letshanaa mempamerkan semangat juang yang tinggi sebelum tewas kepada wakil Thailand Pitchamon Opatniputh, namun beliau tetap boleh berbangga dengan pencapaian mara ke separuh akhir.

Kemenangan ini seolah-olah dendam terbalas buat Sze Fei-Izzuddin yang tewas kepada pasangan Denmark itu pada pusingan kedua Terbuka Malaysia dua minggu lepas. Pasangan Malaysia itu kini mendahului rekod pertemuan lima kali dengan keputusan 3-2.

Sze Fei-Izzuddin pasti berharap untuk meraih gelaran Jelajah Dunia pertama mereka selepas setahun, dengan kemenangan terakhir dicatatkan pada Terbuka India pada Januari 2025.

Kemenangan esok bermakna pasangan Malaysia akan mempertahankan gelaran yang dimenangi oleh Man Wei Chong-Tee Kai Wun tahun lepas.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.