‘Apa sebenarnya YB hendak buat’, Saifuddin persoal Fadhlina

‘Apa sebenarnya YB hendak buat’, Saifuddin persoal Fadhlina

Saifuddin Abdullah berkata ramai keliru kenyataan berbeza Fadhlina Sidek berhubung pendaftaran murid Tahun 1 seawal usia 6 tahun menjelang 2027.

saifuddin fadhlina
Saifuddin Abdullah berkata percanggahan kenyataan Fadhlina Sidek menunjukkan Kementerian Pendidikan belum sedia.
PETALING JAYA:
Pemimpin Perikatan Nasional (PN) mempersoalkan hala tuju sebenar Kementerian Pendidikan (KPM) berhubung pendaftaran murid Tahun 1 seawal usia 6 tahun menjelang 2027, susulan kenyataan bercanggah Menterinya Fadhlina Sidek.

Ketua Portfolio Pendidikan PN Saifuddin Abdullah berkata Fadhlina telah mengeluarkan tiga kenyataan berbeza dalam tempoh empat hari, sekali gus menimbulkan kekeliruan dan menunjukkan KPM tidak bersedia.

Menurut Ahli Parlimen Indera Mahkota itu, pada mulanya Fadhlina menyatakan terserah kepada ibu bapa sama ada mahu memasukkan anak pada usia 6 atau 7 tahun.

“Sehari kemudian beliau menyatakan: bergantung kepada keputusan ujian diagnostik. Pelajar berjaya akan memasuki tahun 1 pada usia 6 tahun; yang gagal –pada usia 7 tahun.

“Semalam beliau menyatakan: dijalankan secara berfasa, di sekolah-sekolah terpilih, bergantung kebersediaan guru (yang paling penting) dan bilik darjah.

“Jadi, soalan saya: apa sebenarnya yang YB hendak buat?,” katanya dalam kenyataan.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim ketika melancarkan Rancangan Pendidikan Negara pada 20 Jan lalu mengumumkan mulai 2027, kanak-kanak berusia lima tahun akan mengikuti pelajaran prasekolah manakala Tahun Satu pada usia enam tahun.

Bagaimanapun pelaksanaan Tahun Satu pada usia enam tahun dijelaskan dibuat secara pilihan.

Sementara itu, ahli akademik Anuar Ahmad turut membangkitkan kekeliruan itu, seolah-olah wujud penyampaian maklumat yang kucar-kacir.

“Saya sokong penuh Tahun Satu sekolah mula umur enam tahun, ini untuk kebaikan anak-anak kita dan reformasi pendidikan yang baik oleh KPM.

“Maka pelaksanaan juga mesti teratur dan lancar, ia bermula dengan perkongsian maklumat yang jelas kepada ibu bapa,” kata timbalan pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.