
Razali Alias, 59, membuat pengakuan itu di depan Hakim Suzana Hussin..
Mengikut pertuduhan pertama, Razali didakwa menerima USD20,000 sebagai dorongan meluluskan sijil pengesahan dan penerimaan perkhidmatan pembayaran bagi perolehan perkhidmatan senggaraan dan perkhidmatan sokongan sistem Pusat Operasi Pertahanan Siber Bahagian Staf Perisikan Pertahanan.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di MDIO, Kementerian Pertahanan di Jalan Padang Tembak antara Ogos dan November 2024.
Dia didakwa mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009, yang membawa hukuman penjara hingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan kedua dan ketiga, dia didakwa menerima RM26,800 dan RM37,800 untuk isterinya, Azarina Bakia atas pembelian tiket penerbangan pergi balik antara Kuala Lumpur dan Malaga di Sepanyol serta Estonia.
Dia didakwa menerima wang itu daripada Pengarah Intelligence PC Centre Sdn Bhd, Sheikh Ahmad Nafiq Sheikh A Rahman, yang dilaporkan mempunyai kaitan dengan tugas rasminya, di lokasi sama pada 15 Nov 2024 serta 28 April 2025.
Bagi dua pertuduhan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara hingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Hakim membenarkan ikat jamin RM50,000 dengan seorang penjamin dan memerintahkan Razali menyerahkan pasportnya sehingga kes selesai.
Sebutan semula kes ditetapkan pada 4 Mac ini.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Law Chin How memohon ikat jamin RM200,000 atas alasan tertuduh berisiko melarikan diri kerana baru bersara dan diketahui sering ke luar negara.
Peguam Geethan Ram Vincent bagaimanapun memohon jaminan lebih rendah atas alasan penyerahan pasport kepada mahkamah mengurangkan risiko anak guamnya, yang telah bekerjasama dengan pihak berkuasa sepanjang siasatan, daripada melarikan diri.