Mana ada petanda buruk, kata Punithan berkait ketiadaan PAS

Mana ada petanda buruk, kata Punithan berkait ketiadaan PAS

Presiden MIPP kata 'kita steady' meskipun PAS tiada pada mesyuarat tampuk parti-parti PN.

Punithan Paramasiven
Satu pertemuan akan diadakan dengan PAS, kata Presiden MIPP P Punithan selepas mesyuarat presiden yang tidak dihadiri Hadi Awang.
KUALA LUMPUR:
Presiden Parti Rakyat India Malaysia (MIPP) menolak anggapan bahawa ketiadaan PAS pada mesyuarat tampuk parti-parti Perikatan Nasional (PN) malam tadi suatu ‘petanda buruk’.

P Punithan turut menafikan sebarang pergolakan dengan PAS, dan menambah satu perbincangan akan diatur dengan parti itu.

“Kami semua baik-baik saja. Kami sedang berbincang. Selepas ini, kita akan jumpa dengan PAS,” katanya kepada pemberita, selepas mesyuarat selama hampir tiga jam di kediaman Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin, yang tidak dihadiri Presiden Hadi Awang.

Punithan menyapa pemberita dengan “PN stabil” sebelum sebarang pertanyaan sempat diajukan.

“Mana ada petanda buruk. Kita ‘steady’ untuk PRU akan datang,” katanya.

Ketika ditanya pemberita, Punithan menyatakan bahawa PAS tidak memaklumkan sebab-sebab ia tidak menyertai mesyuarat malam tadi.

“Ini perkara biasa dalam politik. Ini hal adik-beradik. Semangat setia kawan masih tinggi. Kami masih lagi bercakap dengan PAS.”

Beliau menambah satu keputusan mengenai hala tuju PN akan dibuat. “Kita akan buat haluan sama hala yang jelas.”

Ditanya sama ada mesyuarat majlis tertinggi PN dibincangkan dalam pertemuan tadi, Punithan menjelaskan ia mungkin diadakan dalam masa terdekat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.