
Pengerusinya Megat Zulkarnain Omardin berkata BN tidak boleh menjadikan perpecahan pihak lain sebagai panduan atau strategi utama untuk meraih sokongan di negeri itu.
Katanya, beliau mahu kekuatan BN datang daripada kemampuan kepimpinan untuk menonjolkan kualiti kepimpinan dan menawarkan perkhidmatan serta penyelesaian terbaik kepada rakyat.
“Saya tidak mahu melihat perselisihan di rumah orang lain menjadi keuntungan buat kita. Saya tidak mahu berpegang pada prinsip itu,” katanya kepada FMT.
Beliau mengulas pandangan penganalisis Hisomuddin Bakar dari Ilham Centre bahawa BN berpeluang meraih kelebihan di Selangor jika perselisihan antara PAS dan Bersatu berhubung jawatan pengerusi Perikatan Nasional (PN) berpanjangan.
Hisomuddin berkata PN meraih sokongan yang besar pada PRN 2023 kerana ketika itu ia dilihat sebagai alternatif kepada BN.
PN kini tidak mempunyai pengerusi sejak Muhyiddin Yassin meletak jawatan berkuat kuasa 1 Jan lalu susulan kemelut politik di Perlis. PAS menuntut jawatan itu namun Presiden Hadi Awang menolak atas faktor kesihatan. Bersatu menegaskan gabungan mestilah diterajui presiden parti.
Hisomuddin berkata, pertikaian berlarutan boleh memberi ruang kepada BN untuk meraih kembali sokongan di Selangor, terutama di kawasan separa bandar dan luar bandar dengan majoriti Melayu di sepanjang sempadan utara dan timur.
Megat Zulkarnain yang juga ketua Umno Selangor berkata BN perlu memberi tumpuan kepada ‘housekeeping’ parti dengan memperkukuh organisasi dalaman serta meneruskan perkhidmatan kepada rakyat, bukannya menunggu kelemahan pihak lain untuk meraih sokongan.
Jelasnya, fokus utama Umno Selangor kini adalah pengukuhan parti di semua peringkat dengan memperkemaskan organisasi merangkumi kepimpinan negeri, bahagian, cawangan serta sayap melalui peranan ketua masing-masing.
“Saya lebih tumpu kepada keseluruhan kepimpinan Umno Selangor, bukan hanya di peringkat bahagian tetapi juga setiap kepimpinan termasuk ketua bahagian, timbalan dan naib ketua sayap,” katanya.
Tambahnya, semua kepimpinan BN Selangor juga diminta kembali mendekati ahli dan penyokong terutama mereka yang pernah keliru pada peringkat awal pembentukan kerajaan perpaduan.
“Kita minta semua kepimpinan santuni semula ahli dan penyokong. Perbanyakkan program yang kini sedang rancak di setiap bahagian dan jelaskan kepada mereka supaya apa yang berlaku pada PRN lalu tidak berulang,” katanya.
Pada PRN Selangor 2023, Pakatan Harapan (PH) memenangi 32 daripada 56 kerusi, manakala BN hanya memperoleh dua kerusi. PN pula berjaya membuat kejutan dengan menguasai 22 kerusi.