
Menteri Besar Selangor Amirudin Shari berkata, Jais kini sedang dalam fasa menyediakan kerangka berkaitan bagi memastikan pelaksanaan dasar itu dapat dijalankan secara baik pada peringkat negeri.
“Bahagian pendidikan Jais akan mengemukakan kertas itu, InsyaAllah saya percaya kami akan ada hala tuju yang lebih jelas. Lagipun ketika Ramadan nanti saya akan adakan pemukiman dengan keseluruhan jentera pendidikan negeri.
“Ini akan melibatkan Jais, pihak jabatan pendidikan negeri, universiti dan sebagainya sebab kami nak tengok bagaimana setiap entiti ini mempunyai saling hubung yang baik dan bermanfaat kepada setiap entiti dan unit tertentu,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Perasmian dan Penzahiran Laporan Voluntary Local Review (VLR) Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) Shah Alam siri ke-2 hari ini.
Sementara itu, Amirudin yang juga exco Pendidikan berkata, beliau telah mengadakan perjumpaan dengan Jabatan Pendidikan Negeri untuk mendapatkan maklumat terperinci bagi pelaksanaan dasar itu di Selangor.
“Sudah pasti, (untuk) sekolah kebangsaan, ada kesan-kesannya tapi kami cuba sesuaikan,” katanya.
“Kesesuaian itu akan dirujuk kepada tempoh waktu belajar ataupun kami boleh buat dua sesi dan sebagainya … yang lebih kritikal adalah berkenaan tenaga pengajar.”