Kemasukan murid SJKT makin merosot, keluh pemimpin MIC

Kemasukan murid SJKT makin merosot, keluh pemimpin MIC

Timbalan presiden parti tegaskan pilihan ibu bapa main peranan penting corak trend kemasukan murid di sekolah Tamil.

sekolah-tamil
Timbalan Presiden MIC M Saravanan berkata usaha tingkatkan kemasukan murid sekolah Tamil juga sebahagian usaha pelihara bahasa dan budaya Tamil.  (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Timbalan Presiden MIC M Saravanan menyuarakan kebimbangan berhubung kemerosotan kemasukan murid di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) di seluruh negara.

Beliau berkata, walaupun MIC kekal komited mempertahankan dan memajukan sekolah-sekolah Tamil, pilihan ibu bapa memainkan peranan yang sangat penting dalam mencorakkan trend kemasukan murid.

“Saya menyeru ibu bapa agar sedar nilai jangka masa panjang pendidikan Tamil dan menyokong sekolah-sekolah ini secara aktif, daftarkan anak di sana,” katanya dalam kenyataan.

Beliau turut menggesa NGO berasaskan kaum India, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), persatuan bekas pelajar, lembaga pengelola sekolah, serta pemimpin masyarakat untuk memainkan peranan yang lebih proaktif bagi memulihkan trend ini.

Malaysia kini mempunyai 528 sekolah rendah Tamil, dengan kira-kira 155 daripadanya beroperasi dengan 30 orang murid atau kurang.

“Ini bukan sekadar soal angka. Ia mengenai usaha memelihara bahasa, budaya, dan kekuatan komuniti kita.

“Masa depan sekolah Tamil bergantung kepada iltizam kolektif kita untuk bertindak,” kata Saravanan.

Menurut laporan New Straits Times semalam, data daripada Majlis Lembaga Pengelola Sekolah-sekolah Tamil Malaysia menunjukkan hanya 10,330 murid mendaftar untuk Tahun 1 tahun ini, menurun berbanding 11,021 pada tahun lepas.

Penurunan ini sebahagian trend kemerosotan yang konsisten, di mana jumlah pengambilan murid Tahun Satu jatuh daripada 11,712 pada 2023 kepada 11,568 pada 2024.

Sekolah-sekolah Tamil beroperasi di 11 buah negeri, dengan kemasukan murid Tahun 1 dicatatkan antara 30 hingga 200 murid bagi setiap negeri.

Kemerosotan jumlah kemasukan murid dilaporkan di Perlis, Kedah, Perak, Selangor, Johor dan Kuala Lumpur.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.