Rumah terbakar di Skudai, 2 mangsa ditemukan maut

Rumah terbakar di Skudai, 2 mangsa ditemukan maut

Lelaki dan wanita dipercayai kenalan ditemukan maut di tingkat atas rumah teres di Taman Damai Jaya.

rumah terbakar Taman Damai Jaya Skudai
Kebakaran didapati libat ruang tamu tingkat bawah rumah teres dua tingkat di Taman Damai Jaya, Skudai, yang musnah 40%. (Gambar JBPM)
PETALING JAYA:
Seorang lelaki dan wanita ditemukan maut dalam kebakaran di sebuah rumah teres dua tingkat di Skudai, pagi tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Skudai Saifulbahri Safar berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada 5.28 pagi.

Sejurus menerima panggilan, 13 anggota bersama dua jentera dan sebuah Toyota Hilux dikerah ke rumah terletak di Taman Damai Jaya itu.

“Setibanya di tempat kejadian, kebakaran didapati melibatkan ruang tamu tingkat bawah rumah berkenaan dengan kemusnahan dianggar 40%,” kata Saifulbahri dalam kenyataan, lapor Bernama.

“Kedua-dua mangsa berusia 21 dan 22 tahun (ditemukan) di tingkat atas dalam keadaan tidak sedarkan diri serta dipercayai telah meninggal dunia.

Mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Sementara itu, Ketua Polis Johor Bahru Utara Radin Ramlan Radin Taha dalam kenyataan berasingan berkata, mayat mangsa dibawa ke Hospital Sultanah Aminah untuk dibedah siasat.

Beliau menambah, dua mangsa itu dipercayai kenalan di tempat kerja, dan suami salah seorang mangsa telah dipanggil untuk diambil keterangan.

“Punca kebakaran serta kematian masih dalam siasatan dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR),” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.