Hobi memancing jadi pemangkin pendapatan penduduk Kampung Parit Empat

Hobi memancing jadi pemangkin pendapatan penduduk Kampung Parit Empat

Hasil ternakan dan tangkapan dipasarkan melalui pusat pengumpulan ikan air tawar kampung.

Ternakan Ikan air tawar
Projek ternakan ikan air tawar mendapat sambutan menggalakkan komuniti setempat.
SABAK BERNAM:
Di Kampung Parit Empat, Sg Besar hobi memancing yang dahulu sekadar mengisi masa lapang kini berubah menjadi peluang ekonomi bagi penduduknya.

Setiap hasil tangkapan bukan sahaja membawa kepuasan malah turut menambah sumber pendapatan keluarga.

Inisiatif Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Parit Empat mengusahakan ternakan serta pusat pengumpulan ikan air tawar mengubah minat menjadi manfaat kepada komuniti dari Parit 1 Timur hingga Parit 4 Timur.

Pengerusi JPKK Parit 1 Timur, Zairul Hafiz Mohd Nor berkata mereka membeli hasil tangkapan pemancing yang membolehkan mereka menambah sumber ekonomi.

Zairul Hafiz Nor
Zairul Hafiz Mohd Nor.

“Ikan itu turut dijual semula pada harga lebih murah kepada penduduk setempat.

“Malah mereka yang berjaya mencari pembeli akan menerima komisen tertakluk kepada jumlah keuntungan,” katanya kepada FMT.

Ternakan Ikan air tawar
Sebanyak 16 kolam kanvas menyimpan ikan patin, tilapia, puyu, haruan, sepat, toman, belut, baung serta bujuk.

Setakat ini terdapat 16 buah kolam kanvas dan lima buah tangki air di pusat terbabit yang menempatkan beberapa jenis ikan antaranya keli, patin, tilapia, puyu, haruan, sepat, toman, belut, baung serta bujuk.

Setiap kolam mengandungi sekitar 1,000-1,500 ekor ikan bergantung saiz, yang mengambil masa sekurang-kurangnya tiga hingga empat bulan diternak sebelum boleh dijual.

“Purata jualan anggaran 160kg sehingga 300kg, bergantung juga pada stok ikan yang ada. Kami jual ikan serendah RM7 sekilogram sehingga RM30 sekilogram, ikut jenis ikan,” katanya.

Zairul berkata usaha itu menerima peruntukan di bawah Kampung Angkat Madani (KAM) yang digunakan untuk menaik taraf peralatan di kolam.

Ternakan Ikan air tawar
Aktiviti ternakan dikendalikan secara gotong-royong dan kerjasama komuniti.

“Kami menggunakannya untuk membina sistem penyedutan air parit menggunakan pam bersaiz besar bagi menggantikan penggunaan air paip.

“Dengan peruntukan diberi, JPKK membeli penapis air boring (cuci air), pam pengudaraan (oksigen), mesin vakum (bungkus ikan) dan peti sejuk beku,” katanya yang turut berterima kasih dengan khidmat dan komitmen daripada Agensi Angkasa Malaysia (MYSA) dalam membantu menaik taraf ekonomi dan sosial penduduk kampung melalui KAM.

Burhanuddin Zainuddin
Burhanuddin Zainuddin.

Setiausaha JPKK Parit 1 Timur Burhanuddin Zainuddin menyifatkan program KAM sebagai usaha memperkasakan penduduk agar mampu menjana pendapatan sendiri dan tidak bergantung kepada hasil sawah semata-mata.

“Pendapatan kami meningkat, walaupun tidak banyak tapi boleh menampung kos ternakan dan bayar gaji dua pekerja sepenuh masa selain bayar komisen.

“Diharapkan projek ini dapat memberi lebih banyak kesan positif untuk jangka panjang kepada lebih ramai,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.