
Pemecatan ketua pembangkang itu daripada Bersatu itu berlaku ditengah-tengah kemelut kepimpinan antara Hamzah dan presiden parti, Muhyiddin Yassin.
Menurut surat yang dilihat FMT, Lembaga Disiplin Bersatu mendapati Hamzah melanggar Fasal 9.1.4 perlembagaan parti.
“Notis ini berkuat kuasa serta-merta. Bagaimanapun, anda boleh mengemukakan rayuan kepada lembaga rayuan dalam tempoh 14 hari dari tarikh notis ini,” kata Pengerusi Lembaga Disiplin Bersatu, Radzi Manan dalam surat itu.
Seorang sumber dalam Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu mengesahkan ketulenan surat tersebut kepada FMT.
FMT menghubungi setiausaha sulit Hamzah, Ahmad Ikhwan Fadhli untuk mendapatkan komen.
Setiausaha Agung Bersatu, Azmin Ali mengesahkan perkara itu dengan berkata MPT telah dimaklumkan mengenai keputusan lembaga disiplin tersebut.
Azmin berkata lembaga disiplin memutuskan memecat hak-hak keahlian Hamzah di bawah Fasal 22.5 perlembagaan parti, berkuat kuasa serta-merta, selepas mendapati beliau melanggar Fasal 9.1.4 yang mewajibkan ahli mematuhi perlembagaan, kod etika dan tatakelakuan parti.
Semalam, Hamzah tidak hadir prosiding lembaga disiplin kerana beliau berada di Sydney, Australia, bagi membantu anak perempuannya dengan pendaftaran universiti.
Ikhwan berkata Hamzah sudah berada di luar negara ketika menerima notis pada 7 Feb, dan segera memaklumkan kepada lembaga disiplin bahawa beliau tidak dapat hadir.
Hamzah dipanggil untuk hadir di hadapan lembaga itu susulan aduan bahawa beliau cuba mensabotaj perhimpunan agung tahunan parti 2025 dan melemahkan kepimpinan parti.
Satu notis bertarikh 6 Feb menyatakan bahawa ini adalah panggilan kali kedua, selepas satu panggilan dikeluarkan pada Oktober tahun lalu.