
Syaza Shukri dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)berkata, pemimpin itu termasuk Ahli Parlimen dan Adun, kini berpeluang naik dalam hierarki parti susulan penyingkiran beberapa pemimpin semalam, termasuk Hamzah.
Katanya, wakil rakyat yang sealiran dengan Bersatu hanya ada dua pilihan: terus bersuara menentang Presiden Muhyiddin Yassin atau berdiam diri.
Menurutnya, tindakan keluar daripada Bersatu sebagai tanda protes bukan pilihan kerana ia akan mencetuskan undang-undang antilompat parti, yang bermakna mereka akan kehilangan kerusi.

“Saya jangka sebahagian mereka akan kekal dalam Bersatu dan menunjukkan kesetiaan kepada parti. Pilihan paling selamat adalah kekal dan menunggu sama ada parti memutuskan untuk memecat mereka. Jika dipecat, ia tidak akan mencetuskan apa-apa pun.
“Mereka yang bercita-cita dalam Bersatu, atau tidak tahu ke mana hendak pergi jika keluar parti, mungkin memilih berdiam diri sebagai persediaan menghadapi PRU16,” katanya kepada FMT.
Bawah undang-undang antilompat parti, kerusi seseorang Ahli Parlimen akan dikosongkan jika menyertai parti lain selain daripada parti diwakilinya ketika dipilih. Pengecualian diberikan kepada Ahli Parlimen yang dipecat atau jika parti itu dibubarkan atau dibatalkan pendaftaran.

Saintis politik dari Sunway University, Wong Chin Huat, berkata Muhyiddin mungkin enggan memecat baki penyokong Hamzah kerana ia boleh memberi peluang kepada pesaingnya menubuhkan parti baharu yang kemudian menjadi sekutu PAS di luar Perikatan Nasional.
Katanya, kerjasama itu boleh mengancam Bersatu dan Muhyiddin, terutama memandangkan hubungan rapat Hamzah dengan kepimpinan tertinggi parti Islam itu yang akan menyebabkan PN lumpuh.
Namun, Mazlan Ali dari Universiti Teknologi Malaysia menjangkakan Hamzah akan menghimpunkan penyokongnya dalam Bersatu untuk meningkatkan tekanan supaya Muhyiddin meletak jawatan.

“Jika Hamzah menemui jalan buntu dalam usaha menyingkirkan Muhyiddin, menubuhkan parti sendiri adalah pilihan baik,” katanya.
Selain Hamzah, Bersatu memecat 16 pemimpin termasuk tiga Ahli Parlimen, dua Adun dan 10 ketua bahagian. Dua lagi Ahli Parlimen, Wan Saiful Wan Jan dan Saifuddin Abdullah dipecat lebih awal.
‘Kepala tanpa kawalan ke atas badan’
Wong menyifatkan Muhyiddin sebagai ‘kepala yang tidak mempunyai kawalan ke atas badannya’; katanya Bersatu memenangi 31 kerusi Parlimen dalam PRU 2022, enam daripadanya kemudian mengisytiharkan sokongan kepada kerajaan manakala enam lagi dipecat.
“Berapa ramai daripada baki 18 Ahli Parlimen Bersatu (tak termasuk Muhyiddin) yang setia kepada presiden?” katanya. Dua belas daripada 19 Ahli Parlimen Bersatu secara terbuka menggesa Muhyiddin meletak jawatan.
Beliau menjangkakan perkembangan itu akan mendorong PAS berusaha lebih gigih menghidupkan semula Muafakat Nasional, pakatan dengan Umno yang sudah terbubar.
Syaza berkata, Bersatu kelihatan ‘agak tidak berhaluan’ dalam beberapa bulan kebelakangan ini susulan perebutan kepimpinan, dengan kesan daripada gelombang pemecatan dijangka merumitkan lagi keadaan.
Katanya, sebahagian besar tumpuan dalam kem Muhyiddin adalah untuk mengekalkan bekas perdana menteri itu di kerusi presiden, manakala ketiadaan pelan peralihan kepimpinan yang jelas kekal menjadi isu asas bagi Bersatu.
“Dengan ketiadaan Hamzah, sebenarnya tiada lagi tokoh Bersatu yang boleh diketengahkan (sebagai pengganti Muhyiddin). Ia mungkin (setiausaha agung Bersatu) Azmin Ali atau (naib presiden) Ahmad Faizal Azumu, tetapi tiada yang pasti.”