SKMM anjur 9,666 kempen Internet selamat tahun lalu

SKMM anjur 9,666 kempen Internet selamat tahun lalu

SKMM berkata kempen menerusi hari bersama komuniti itu adalah usaha berterusan tingkat kesedaran penggunaan digital secara selamat dan berhemah.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil (lima kiri) ketika melancarkan kempen Internet Selamat 2026 di Taman Tasik Titiwangsa baru-baru ini. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Sebanyak 9,666 program Kempen Internet Selamat dilaksanakan di seluruh negara sepanjang 2025 sebagai satu usaha Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) meningkatkan kesedaran penggunaan digital secara selamat dan berhemah.

Dalam kenyataan, SKMM berkata kempen itu merupakan pengisian utama Hari Bersama Komuniti anjuran suruhanjaya itu dengan kerjasama Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI).

Katanya, program itu adalah usaha berterusan SKMM bagi melindungi pengguna digital dalam kalangan komuniti setempat terutamanya golongan kanak-kanak.

“Hari Bersama Komuniti turut membawakan pelbagai pengisian Perkhidmatan Pintar NADI termasuk e-Sukan, Tuisyen DiLea, NADI Mahir Baiki Gajet, saringan kesihatan serta pameran dan jualan oleh usahawan NADI.

“Terdapat juga pameran dan perkhidmatan agensi seperti Kaunter eKasih oleh Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri, serta Kempen Elektrik Selamat oleh Tenaga Nasional Berhad,” katanya dalam satu kenyataan.

Terdahulu hari ini, Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil hadir ke program Hari Bersama Komuniti dengan kerjasama NADI Taman Desa Belantik, Johor Bahru.

Katanya, hingga Disember 2025, Perkhidmatan Pintar NADI merekodkan 1.4 juta penyertaan di seluruh negara, sekali gus mencerminkan sambutan positif dan keperluan berterusan komuniti terhadap pembangunan kemahiran digital serta sosioekonomi.

Penganjuran program ini mencerminkan peranan NADI sebagai pusat sehenti komuniti yang bukan sahaja menyediakan akses Internet secara kolektif, malah berfungsi sebagai platform memperkasakan komuniti melalui pembangunan kemahiran digital, keusahawanan dan penyebaran inisiatif kerajaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.