
Pengerusi DAP Pulau Pinang dan Ahli Jawatankuasa Tertinggi Pusat, Steven Sim, berkata parti itu tidak akan mengkhianati kerajaan semasa atau membelakangkan kepentingan rakyat.
“Saya tahu ada segelintir pemimpin parti komponen yang mungkin bimbang apabila Setiausaha Agung DAP (Loke Siew Fook) mengumumkan kongres khas akan diadakan bagi membincangkan kedudukan DAP dalam kerajaan perpaduan. Saya ingin tegaskan jangan bimbang.
“Apa jua keputusan DAP, kita tidak akan mengkhianati dan membelakangi kepentingan rakyat,” katanya berucap pada Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina DAP Pulau Pinang di sini.
Turut hadir Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow, Penasihat DAP Lim Guan Eng dan veteran DAP Lim Kit Siang.
Sebelum ini, Loke dilaporkan berkata, kongres itu akan memberi ruang kepada perwakilan menentukan sama ada pemegang jawatan parti perlu melepaskan semua jawatan dalam kerajaan.
Loke turut memaklumkan 40 Ahli Parlimen DAP akan terus menyokong kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim sehingga tamat penggal.
Sim yang juga menteri pembangunan usahawan dan koperasi berkata, kongres khas itu akan menjadi medan untuk ahlinya melakukan penilaian kendiri, termasuk menilai kedudukan dan prestasi parti dalam kerajaan perpaduan serta sejauh mana kepentingan rakyat terus dipelihara.
Justeru, beliau menyarankan ahli DAP Pulau Pinang turun padang menemui pengundi dan rakyat bagi mendapatkan pandangan, komen serta kritikan bagi memastikan maklum balas yang dibawa ke kongres khas itu benar-benar mencerminkan suara rakyat.