
Ahli Dewan Rakyat dan Dewan Negara hari ini diberitahu pelantikan pendakwa raya bergantung sepenuhnya pada budi bicara Yang di-Pertuan Agong selepas diluluskan Majlis Raja-Raja, dengan tempoh perjawatan selama tujuh tahun.
Calon untuk jawatan itu akan dikemukakan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan (SPKP), perlu memiliki pengalaman litigasi sekurang-kurangnya 10 tahun, dan tidak boleh membabitkan Ahli Parlimen atau Adun.
“Idea asal ialah untuk memisahkan campur tangan politik dalam aspek pelantikan pendakwa raya dan sebab inilah kita tidak meletakkan peranan ahli politik, termasuk perdana menteri, sebab kita mahu memastikan dia berlaku adil ketika menjalankan tugas,” kata Peguam Negara Dusuki Mokhtar pada taklimat kepada wakil rakyat di Parlimen.
RUU itu dibentangkan di Dewan Rakyat, hari ini, sebagai RUU Perlembagaan (Pindaan) (No. 2) 2026. Ia dibentangkan untuk bacaan kali pertama oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Azalina Othman Said.
Di taklimat anjuran menteri di JPM tadi, Dusuki menerangkan ketiadaan campur tangan atau penglibatan wakil rakyat atau ahli politik dalam pelantikan pendakwa raya bertujuan mengelakkan individu yang bakal dilantik terikut-ikut rentak kelompok tertentu.
Pada sesi sama, Azalina memaklumkan bahawa tempoh perjawatan pendakwa raya boleh disambung namun pelanjutan perlu dimohon.
“Kita tak mahu menjadikan pembaharuan tempoh perjawatan pendakwa raya ini secara automatik, sebaliknya individu terbabit perlu memohon bagi tujuan berkenaan supaya SPKP boleh menilai semula. Ini kerana, selepas tujuh tahun mungkin akan ada personaliti lain yang dimahukan oleh kerajaan semasa,” katanya.
Turut dibentangkan di Dewan Rakyat tadi RUU berkaitan pengehadan tempoh jawatan perdana menteri. Ia dibentangkan sebagai RUU Perlembagaan (Pindaan) (No. 1) 2026.