Pemuda PAS cadang Dr Sam calon PM

Pemuda PAS cadang Dr Sam calon PM

Sayap PAS itu mendapatkan maklum balas orang ramai mengenai kemungkinan pengerusi baharu PN itu dinamakan sebagai calon perdana menteri.

Ahmad Samsuri Mokhtar
Ahmad Samsuri Mokhtar dinamakan sebagai pengerusi Perikatan Nasional pada Ahad lalu bagi menggantikan Muhyiddin Yassin yang meletak jawatan berkuat kuasa 1 Jan. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Pemuda PAS mencetuskan idea untuk mengangkat Ahmad Samsuri Mokhtar sebagai calon perdana menteri parti itu, menyifatkan menteri besar Terengganu tersebut sebagai teknokrat dan pemimpin yang tenang serta berfokus kepada hasil.

Dalam hantaran di Facebook, sayap PAS itu mendapatkan maklum balas orang ramai mengenai idea tersebut dan berkata Samsuri telah membawa Terengganu ke tahap yang lebih tinggi.

Menurut hantaran itu lagi, Samsuri atau dikenali sebagai Dr Sam adalah seorang ilmuwan, teknokrat dan ahli politik yang bekerja untuk rakyat tanpa banyak drama politik.

“Andai kata Samsuri dicadangkan sebagai calon perdana menteri suatu hari nanti, apa pendapat rakyat Malaysia semua? Cuba komen,” kata hantaran itu.

Samsuri dinamakan sebagai pengerusi baharu Perikatan Nasional pada Ahad lalu, menggantikan Muhyiddin Yassin yang meletak jawatan berkuat kuasa 1 Jan.

Semalam, Naib Presiden PAS Idris Ahmad memberitahu FMT bahawa golongan ulama dalam parti itu menyokong penuh pelantikan Samsuri.

Idris, yang juga ahli Majlis Syura ulama, berkata Presiden PAS Abdul Hadi Awang turut mencadangkan nama Samsuri untuk jawatan itu, yang menurutnya mendapat ‘sokongan padu daripada ulama, profesional dan aktivis’.

Kata Pemuda PAS lagi, Samsuri bukanlah seorang ahli politik yang gemar berdrama, sebaliknya beliau lebih dikenali sebagai pemimpin yang bekerja dalam diam tetapi membuahkan hasil yang nyata.

“Pendekatan ini amat disenangi oleh golongan atas pagar yang sudah muak dengan polemik dan drama politik yang berpanjangan,” katanya.

Menurut hantaran itu lagi, Samsuri juga mempunyai latar belakang akademik yang cemerlang dengan memliki Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Aeroengine Ignition and Combustion dan Ijazah Sarjana Sains dalam Combustion and Energy daripada University of Leeds.

Katanya, pencapaian Samsuri sebagai menteri besar Terengganu juga cemerlang apabila ekonomi negeri itu menunjukkan perkembangan yang memberangsangkan sejak 2018 apabila berjaya menarik pelaburan berjumlah RM14.86 bilion merentasi pelbagai sektor.

“Bagi 2025 pula, sehingga Jun sahaja, negeri ini telah mencatatkan pelaburan sebanyak RM6 bilion angka tertinggi dalam sejarah Terengganu bagi tempoh separuh tahun.

“Kadar pengangguran turut menurun kepada 2.8%, iaitu yang terendah dalam tempoh lebih 10 tahun bagi suku kedua 2025,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.