Suspek disyaki pijak al-Quran akan didakwa dalam masa terdekat

Suspek disyaki pijak al-Quran akan didakwa dalam masa terdekat

Polis berkata 62 laporan diterima berhubung kes itu dan 43 saksi telah dirakam percakapan setakat ini.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia mengambil keterangan suspek di IPD Kuantan pada Jumaat lalu bagi melengkapkan siasatan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
PETALING JAYA:
Suspek yang ditahan kerana disyaki menghina Islam di media sosial dengan memuat naik gambar memijak al-Quran akan didakwa dalam masa terdekat, menurut sumber.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) mengambil keterangan individu terbabit di IPD Kuantan pada Jumaat lalu bagi melengkapkan siasatan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Sementara itu, Ketua Polis Pahang, Yahaya Othman, berkata kertas siasatan kes itu dijangka dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara esok untuk arahan lanjut selaras Perkara 145 Perlembagaan Persekutuan.

“Setakat ini, 62 laporan polis telah diterima dari seluruh negara berkaitan isu penularan foto tersebut dan 43 saksi telah dirakam percakapan bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948.

Pada 25 Feb lalu, seorang penuntut Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) ditahan bagi membantu siasatan kerana disyaki menghina Islam di media sosial.

Gambar kaki seorang lelaki dewasa memijak al-Quran dan tangkap layar hantaran individu didakwa penuntut UMPSA itu kemudian tular di media sosial.

Semalam, Ketua Polis Kuantan, Ashari Abu Samah dilaporkan berkata, reman lelaki berusia 21 tahun yang disyaki memuat naik dan menyebarkan gambar itu disambung tiga hari lagi hingga 3 Mac ini susulan arahan timbalan pendakwa raya supaya beberapa tindakan diambil bagi melengkapkan siasatan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.