
Fahmi berkata, Ahli Parlimen Tapah M Saravanan juga tidak hadir kerana perlu menghadiri upacara keagamaan.
“Saya difahamkan Ahli Parlimen Libaran berada di hospital, manakala Ahli Parlimen Tapah memaklumkan bahawa beliau menghadiri upacara sembahyang,” katanya dalam sidang media hari ini.
Petang semalam, Dewan Rakyat gagal meluluskan pindaan perlembagaan untuk mengehadkan tempoh jawatan perdana menteri kepada maksimum 10 tahun selepas undian tidak mencapai majoriti dua pertiga yang diperlukan.
Dalam undi blok berkenaan, 146 Ahli Parlimen menyokong RUU itu, 44 berkecuali dan 32 tidak hadir.
Sekurang-kurangnya 148 undi diperlukan untuk mencapai majoriti dua pertiga yang diperlukan bagi pindaan perlembagaan. Dilaporkan lapan Ahli Parlimen blok kerajaan tidak hadir, manakala semua Ahli Parlimen Pakatan Harapan hadir dan menyokong RUU tersebut.
Selain Suhaimi dan Saravanan, enam lagi Ahli Parlimen yang tidak hadir terdiri daripada Hishammuddin Hussein (Sembrong); Larry Sng (Julau); Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang); Henry Sum Agong (Lawas); Riduan Rubin (Tenom); dan bekas timbalan ketua menteri Sabah Jeffrey Kitingan (Keningau).
Semalam, Sng memberitahu FMT, beliau tidak sempat pulang ke Parlimen untuk mengundi RUU itu kerana terperangkap dalam kesesakan lalu lintas, manakala Syed Hussin berkata, beliau memilih tidak hadir kerana tidak bersetuju dengan undang-undang yang dicadangkan itu.
Fahmi berkata, daripada lapan Ahli Parlimen yang tidak hadir itu, tiga daripada Barisan Nasional, masing-masing seorang daripada Gabungan Parti Sarawak dan Gabungan Rakyat Sabah, serta dua Ahli Parlimen bebas.
“Mereka yang tidak hadir mesti beri penjelasan kepada orang ramai, kepada ketua whip … kerana tugas dan tanggungjawab seorang Ahli Parlimen adalah untuk berada di Parlimen ketika ia bersidang.”
Beliau juga berkata, ketua whip blok kerajaan, Fadillah Yusof, telah bertanya kepada ketua whip parti masing-masing mengenai ketidakhadiran tersebut.
“Dan saya lihat raut wajah beliau, kelihatan sedikit kecewa 8 Ahli Parlimen ini tidak hadir,” katanya
Bagaimanapun, Fahmi berkata, RUU itu boleh dibentangkan semula, menambah bahawa kegagalan untuk meluluskannya semalam ‘tiada sebarang implikasi terhadap kerajaan mahupun pentadbiran’.
Beliau juga berkata, beberapa Ahli Parlimen blok pembangkang dan kerajaan ada menyebut bahawa kegagalan meluluskan RUU tersebut bermakna mereka mahu Perdana Menteri Anwar Ibrahim terus berkhidmat melebihi tempoh 10 tahun.
“Tetapi ini bukanlah apa perdana menteri mahukan,” katanya.