
Ketua Aktivis Masrizal Mahidin berkata tidak wajar untuk memberi gambaran yang terlalu negatif atau berat sebelah terhadap kerangka undang-undang yang masih dalam proses pelaksanaan dan penambahbaikan melalui dialog bersama pelbagai pihak berkepentingan.
“Sebahagian pihak yang kini lantang mengkritik akta ini sebelum ini bukanlah antara pihak yang menyokong usaha mewujudkan akta khusus bagi pekerja gig.
“Sedangkan perjuangan untuk mendapatkan kerangka perlindungan undang-undang bagi komuniti pekerja gig telah mengambil masa bertahun-tahun melalui advokasi pelbagai pihak termasuk komuniti sendiri,” menurut kenyataan.
Beliau berkata perbahasan mengenai akta itu ketika ini banyak tertumpu pada perspektif Akta Pengangkutan Awam Darat (Akta 715) yang berkait secara langsung dengan sektor e-panggilan dan p-panggilan.
Bagaimanapun, beliau menjelaskan skop Akta 872 sebenarnya jauh lebih luas kerana merangkumi sekurang-kurangnya 11 sektor ekonomi gig termasuk sektor seni kreatif, jurubahasa bebas, pekerjaan digital dan ‘freelance’ serta pelbagai bentuk pekerjaan gig moden yang berkembang dalam ekonomi digital.
“Menilai akta ini semata-mata dari sudut konflik dengan Akta 715 tanpa melihat gambaran keseluruhan ekosistem gig adalah pendekatan yang terlalu sempit,” katanya.
Pada masa sama, GEM menyambut baik usaha Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) yang menganjurkan sesi libat urus bersama pihak berkepentingan baru-baru ini.
Beliau berkata seperti mana-mana dasar baharu, proses pelaksanaan akan sentiasa memerlukan penambahbaikan dari semasa ke semasa.
“Pendekatan yang lebih matang ialah membina, memperbaiki serta memperkukuh sistem itu secara bersama, bukan menolaknya secara total sebelum ia benar-benar diuji dalam pelaksanaan sebenar,” katanya.
Masrizal berkata GEM komited untuk terus bekerjasama bersama Kementerian Sumber Manusia serta agensi kerajaan yang terlibat dalam pelaksanaan akta berkenaan.
“Kami percaya akta ini boleh menjadi titik permulaan kepada reformasi besar dalam struktur pekerjaan masa depan Malaysia, khususnya dalam memastikan bahawa ekonomi digital berkembang seiring dengan keadilan sosial, perlindungan pekerja dan kemampanan industri,” katanya.