MIC kini komponen PN, kata Takiyuddin

MIC kini komponen PN, kata Takiyuddin

Setiausaha Agung PN Takiyuddin Hassan berkata terdapat lebih lima parti lain turut memohon untuk menyertai gabungan itu.

Takiyuddin Hassan
Setiausaha Agung PN Takiyuddin Hassan berkata surat rasmi kemasukan MIC akan diserahkan kepada Presidennya SA Vigneswaran malam ini.
PETALING JAYA:
Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN), Takiyuddin Hassan, mengumumkan permohonan MIC menyertai gabungan itu diluluskan Sabtu lalu.

Beliau berkata, surat rasmi itu akan diserahkan kepada Presiden MIC, SA Vigneswaran, malam ini.

“Kemasukan MIC diluluskan sejak Disember tahun lalu, namun pada mesyuarat PN Sabtu lalu, kita mengesahkan secara rasmi kemasukan parti berkenaan menjadikan lima parti anggota setakat ini,” katanya menurut Berita Harian selepas penyampaian sumbangan kepada penggerak PAS Kota Bharu di Kelantan.

Terdapat lebih lima parti lain turut memohon untuk menyertai PN, tetapi beliau enggan mendedahkan parti terbabit.

Menurutnya, permohonan itu menyaksikan pimpinan baharu PN lebih inklusif kerana jawatan diberikan kepada pelbagai parti.

“Jika sebelum ini yang memegang jawatan adalah PAS dan Bersatu, namun kini menyeluruh. Malah MIC yang baru menyertai PN pun mungkin diberi jawatan.

“Selain terbuka kepada mana-mana parti, kita juga buka kepada NGO dan ahli bersekutu.

“Dalam PN ada tiga kategori, iaitu parti anggota, ahli bergabung NGO atau parti yang mesra kepada PN dan ahli bersekutu terdiri daripada individu.”

Ketua pembangkang

Sementara itu, Takiyuddin berkata Pengerusi PN Ahmad Samsuri Mokhtar antara calon yang layak memegang jawatan ketua pembangkang.

Katanya, ia berikutan jawatan digalas Samsuri kini sebagai menteri besar dan pengerusi PN.

“Sebagaimana disebut pengerusi PN, pelantikan itu akan dibuat sebelum akhir bulan ini atau awal bulan depan.

“Ia tidak timbul isu berapa senarai nama calon yang ada sebaliknya PAS belum buat keputusan akhir,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.