90% pemain industri jangka gangguan rantaian lagi 2 minggu, kata FMM

90% pemain industri jangka gangguan rantaian lagi 2 minggu, kata FMM

Persekutuan Pekilang-pekilang Malaysia rayu kerajaan perluas pemberian subsidi diesel bagi sektor perkilangan.

pekerja kilang
Sektor perkilangan menyumbang 23% kepada KDNK dan menggaji 2.3 juta. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Tinjauan Persekutuan Pekilang-pekilang Malaysia (FMM) mendapati 90% daripada lebih 200 responden menjangkakan gangguan rantaian bekalan dalam tempoh dua minggu akan datang disebabkan konflik Timur Tengah.

Presiden Jacob Lee, berkata beberapa bahan utama diperlukan bagi pembuatan mungkin berkurangan atau tidak tersedia, selain kenaikan harga.

Konflik Timur Tengah telah menjejaskan sektor itu dalam tiga bidang utama iaitu gangguan logistik; kos tenaga dan bahan api yang lebih tinggi, dan gangguan material.

“Mengenai gangguan logistik, syarikat perlu mengalihkan penghantaran pada kos pengangkutan yang jauh lebih tinggi, sambil terpaksa menanggung lonjakan dalam bayaran insurans premium dan caj penyimpanan pelabuhan.

“Isu lain yang memberi kesan kepada setiap rakyat ialah kenaikan kos tenaga dan bahan api. Oleh itu, FMM merayu kepada kerajaan agar mempertimbangkan pemberian subsidi diesel kepada sektor berkenaan.

“Ketiga, terdapat gangguan bahan, terutamanya dalam produk derivatif petrokimia seperti polivinil klorida, polipropilena, polietilena, dan resin plastik lain,” katanya semasa program ‘The Nation’ bertajuk ‘Impak Konflik Timur Tengah Terhadap Sektor Pembuatan Malaysia’, terbitan Bernama TV.

Beliau berkata, memandangkan kebanyakan industri Malaysia terlibat dalam pembuatan konvensional, mereka sangat sensitif terhadap kenaikan kos berikutan margin yang tipis, sekali gus menimbulkan ancaman besar kepada kemampanan perniagaan.

“Kami berharap kerajaan dapat mengambil langkah atau campur tangan untuk membantu mengurangkan lonjakan kos supaya syarikat tidak perlu menyalurkan terlalu banyak kenaikan kepada pengguna, yang seterusnya boleh mendorong inflasi,” tambahnya.

Menurut Lee, sektor perkilangan Malaysia menyumbang secara ketara kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), memberikan 23% daripada KDNK dan menggaji 2.3 juta.

“Kami (sektor pembuatan) mungkin pembayar cukai kedua terbesar di negara ini. Sementara itu, 86% daripada eksport Malaysia adalah barangan perkilangan. Bagaimanapun, saya juga ingin menekankan bahawa 44% daripada eksport kami datang daripada sektor elektrik dan elektronik, atau pembuatan teknologi baru muncul,” katanya.

Selain itu, Indeks Pengurus Pembelian (PMI), yang menonjolkan penguncupan atau pengembangan sektor pembuatan, mencerminkan sektor itu semakin pulih tetapi kekal tidak stabil, dengan PMI menokok kepada 50.2 pada Januari sebelum susut kepada 49.3 semasa Februari.

Beliau berkata, PMI ialah penunjuk dengan ambang 50, bacaan di atas 50 menunjukkan pengembangan, manakala di bawah 50 adalah insyarat penguncupan.

Pada masa ini, harga minyak kekal melebihi USD100 setong. Pada 5.18 petang, minyak mentah Brent turun 1.54% kepada USD107.30 setong.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.