Bekas pengasuh cuai hingga sebabkan kematian bayi dipenjara 5 tahun

Bekas pengasuh cuai hingga sebabkan kematian bayi dipenjara 5 tahun

Warga Indonesia, Mulyati Kalim turut dikenakan bon berkelakuan baik selama tiga tahun dan perlu melengkapkan khidmat masyarakat selama 120 jam dalam masa enam bulan.

Gavel
Tertuduh, Mulyati Kalim, 54, dijatuhi hukuman penjara lima tahun oleh Mahkamah Sesyen Petaling Jaya hari ini atas tuduhan cuai sehingga menyebabkan kematian bayi perempuan berusia tiga bulan, Qaseh Aulia Faizul pada 2023. (Gambar Pexels)
PETALING JAYA:
Seorang bekas pengasuh dijatuhi hukuman penjara lima tahun oleh Mahkamah Sesyen Petaling Jaya hari ini atas tuduhan cuai sehingga menyebabkan kematian bayi perempuan berusia tiga bulan, Qaseh Aulia Faizul, tiga tahun lalu.

Keputusan dibuat Hakim Syahliza Warnoh selepas mendapati pihak pembelaan yang mewakili Mulyati Kalim, 54, yang juga warga Indonesia, gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaannya, menurut Berita Harian.

Hakim turut memerintahkan tertuduh dikenakan bon berkelakuan baik selama tiga tahun dengan dua penjamin warganegara tempatan berserta cagaran RM5,000 selain mengarahkan hukuman penjara bermula dari tarikh sabitan.

Tertuduh juga perlu melengkapkan khidmat masyarakat selama 120 jam dalam masa enam bulan.

Kedua-dua hukuman tambahan itu perlu dilaksanakan selepas tertuduh selesai menjalani hukuman penjara.

Berdasarkan kertas pertuduhan, dia didakwa sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap Qaseh Aulia, telah bertindak cuai sehingga menyebabkan kematian bayi itu.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah taska di Kota Damansara pada 9.40 pagi, 10 Oktober 2023.

Dakwaan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, peguam mewakili tertuduh, Badrul Munir Bukhari memohon hukuman dikurangkan mengambil kira tertuduh memberikan kerjasama kepada pihak berkuasa dan mahkamah, selain ia kesalahan pertama tertuduh.

Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Loqman Hakim Ahmad Khaire bagaimanapun memohon mahkamah mengenakan hukuman berat terhadap tertuduh mengambil kira kehilangan nyawa bayi serta memberi pengajaran kepada masyarakat.

Pada prosiding itu, mahkamah turut menolak permohonan pembelaan untuk menangguhkan hukuman.

Hakim kemudiannya memerintahkan tertuduh menjalani hukuman serta-merta.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.