
Ketua Polis Ipoh, Muhammad Najib Hamzah, berkata pihaknya menerima maklumat awal tentang satu pergaduhan kira-kira 11.10 malam sebelum sepasukan polis digerakkan ke lokasi kejadian.
“Hasil pemeriksaan mendapati seorang lelaki tempatan berusia 25 tahun ditemukan dalam keadaan terbaring di tengah jalan dengan kesan kecederaan parah dipercayai akibat ditetak menggunakan senjata tajam.
“Siasatan awal mendapati mangsa sebelum itu berada di sebuah premis sewa kereta bersama rakan-rakannya sebelum didatangi sekumpulan suspek yang bertindak menyerang menggunakan parang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Najib berkata dalam kejadian itu, beberapa rakan mangsa turut mengalami kecederaan dan sedang menerima rawatan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini.
“Seorang lelaki berumur 23 tahun yang bekerja sebagai penjaga tempat kereta sewa di lokasi kejadian telah ditahan bagi membantu siasatan dan usaha mengesan serta menangkap suspek lain masih giat dijalankan.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 302, 326 dan 148 Kanun Keseksaan kerana membunuh, mendatangkan cedera parah dan merusuh,” katanya.
Najib berkata mangsa tidak bekerja dan akan datang ke lokasi tersebut bagi membantu di tempat kereta sewa berkenaan.
Sehubungan dengan itu, beliau berkata orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian itu diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi mana-mana balai polis berhampiran atau terus ke IPD Ipoh.