
Tertuduh, Muhamad Shafiq Salleh, 29, bagaimanapun hanya mengangguk faham sebaik ketiga-tiga pertuduhan dikemukakan di hadapan Majistret Amalina Johar, menurut Berita Harian.
Tiada pengakuan direkodkan memandangkan kes ini di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Berdasarkan kertas pertuduhan, dia didakwa membunuh S Palamiandy, 77; K Myakrishnan; 72, dan S Sevendai, 62 dalam kejadian di Kilometer 212 Jalan Johor Bahru-Seremban pada 3.50 petang, 2 April lalu.
Dakwaan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara minimum 30 tahun dan maksimum 40 tahun, serta sebatan tidak lebih 12 kali sekiranya tidak dihukum gantung.
Timbalan Pendakwa Raya Nur ‘Aina Muhammad Ismail Tadj mengendalikan pendakwaan manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Terdahulu pihak pendakwaan memohon tarikh baharu memandangkan belum menerima laporan bedah siasat, laporan perubatan, laporan Puspakom, laporan forensik dan laporan patalogi.
Mahkamah membenarkan permohonan pihak pendakwaan dan tidak menawarkan ikat jamin terhadap tertuduh.
Sebutan semula kes ditetapkan pada 21 Mei ini.
Dalam kejadian Khamis lalu, tiga sekeluarga maut dalam nahas ngeri membabitkan tiga kenderaan dekat Simpang Taman Golden Hill, Gemas Baru.
Nahas berlaku kira-kira 200 meter dari rumah mangsa ketika keluarga terbabit dalam perjalanan pulang selepas berkunjung ke rumah saudaranya di Batu Anam.