
Seorang daripada mereka, berkata Umno Johor setakat ini belum mengadakan sebarang perbincangan dengan mana-mana gabungan luar daripada BN.
Katanya, jika berlaku kerjasama dengan gabungan lain termasuk Pakatan Harapan (PH), mereka tetap mahu mengekalkan status quo dengan bertanding di 40 kawasan daripada keseluruhan 56 DUN.
Pemimpin itu menegaskan, Umno-BN lebih selesa bergerak solo di Johor, namun menyerahkan kepada pucuk pimpinan pusat membuat keputusan.
“Pendirian kita tetap status quo, mahu kekal tanding 40 DUN yang kita menang walaupun ada rundingan kerjasama dengan gabungan lain.
“Kalau tiada kerjasama, kita akan tanding semua DUN,” katanya kepada FMT.
Sementara itu, seorang lagi pemimpin turut menegaskan mereka berpegang kepada prinsip ‘incumbency’ (kekal kerusi penyandang).
“Tapi, buat masa ini fokus kami kepada kebajikan rakyat dan pentadbiran di Johor, terutamanya dalam mendepani krisis global. Soal pilihan raya, bila sampai masa kita bincanglah secara serius,” katanya.
Terdahulu, PKR Johor terbuka mengadakan rundingan bersama Umno, dengan sayap Pemuda negeri mengalu-alukan langkah itu bagi mendepani PRN akan datang, yang perlu diadakan selewat-lewatnya April 2027.
Ketua, Dr Zaliha Mustafa, berkata sebarang bentuk kerjasama perlu dilaksanakan melalui saluran tertib dan berhemah, selari dengan semangat kerajaan Madani bagi menjamin kestabilan politik serta kemenangan bersama.
Ahad lalu, ketika berucap di Konvensyen PKR Johor, Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang juga presiden PKR, mahu berunding termasuk dengan Umno, bagi menghadapi PRN dengan mengambil kira kekuatan sokongan dimiliki parti itu di peringkat Parlimen.
BN membentuk kerajaan negeri apabila menang 40 daripada 56 DUN, sementara PH pula menang 12 kerusi, dengan 10 dimenangi DAP, selain PKR dan Amanah masing-masing satu. Perikatan Nasional (PN) menang tiga, manakala Muda satu.