Acara langsung tetap berjalan walau konflik di Iran

Acara langsung tetap berjalan walau konflik di Iran

Penganjur bagaimanapun berkata disebabkan harga makin meningkat usaha urus kos operasi lebih ditekankan.

concert resize
Walaupun belum ada acara hiburan langsung ditunda atau dibatalkan pihak penganjur dijangka lebih fokus kawal kos. (Gambar Envato Elements)
PETALING JAYA:
Acara langsung termasuk persembahan artis antarabangsa akan diteruskan mengikut rancangan walaupun dengan peperangan di Asia Barat, namun langkah mungkin diambil untuk memperketat kawalan kos, menurut penganjur.

Persatuan Seni, Acara Langsung, Konsert dan Festival Malaysia (Alife) berkata, belum ada sebarang petanda pembatalan atau gangguan meluas setakat ini, sekalipun bagi acara berskala besar yang telah diatur, menggariskan daya tahan sektor tersebut.

Alan Foo
Alan Foo.

Sebagai contoh, festival muzik air selama tiga hari anjuran Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya di Bukit Bintang dari 1 hingga 3 Mei akan diteruskan walaupun berdepan persekitaran yang mencabar, kata Pengerusi Alife Alan Foo.

Menurutnya, acara sebegini juga akan berfungsi sebagai pemacu utama pelancongan, menjadikannya relevan untuk Malaysia di tengah-tengah kempen Tahun Melawat Malaysia 2026.

“Lebih penting lagi, kita mesti pastikan acara-acara ini dirancang secara bertanggungjawab, dengan nilai ekonomi dan komuniti yang jelas,” katanya kepada FMT.

Brian Johnson Lowe
Brian Johnson Lowe.

Timbalan Pengerusi Alife, Brian Johnson Lowe, berkata artis antarabangsa juga masih bersedia untuk datang ke Malaysia, mencerminkan daya tarikan negara ini sebagai destinasi acara langsung.

Bagaimanapun, beliau menjangkakan saiz sesetengah acara akan dikecilkan sebagai tindak balas terhadap peningkatan kos.

“Apa yang kami jangkakan bukanlah pengunduran secara menyeluruh, tetapi kalibrasi semula. Ramai penganjur akan nilai semula skala, kos produksi, logistik vendor, perbelanjaan pengangkutan, dan pendedahan komersial keseluruhan sebelum buat komitmen,” kata Lowe.

“Acara-acara ini perlu dilaksanakan dengan disiplin komersial yang lebih kukuh. Ini bermakna kawalan kos yang lebih ketat, penggunaan perkongsian dan penajaan yang lebih bijak, logistik yang lebih cekap, dan sasaran penonton yang lebih tepat.”

Mengenai jualan tiket, beliau berkata, masih terlalu awal untuk menentukan sama ada akan jualan akan menjadi perlahan merentas industri tersebut.

Sebilangan persembahan artis antarabangsa telah diatur untuk tahun ini, seperti persembahan penyanyi rap dan artis hip-hop Post Malone, yang tiketnya mula dijual minggu ini.

Lowe berkata, acara dengan permintaan tempatan yang kukuh kekal stabil, tetapi acara yang bergantung kepada kehadiran penonton antarabangsa mungkin berdepan sentimen yang lebih berhati-hati berikutan tambang penerbangan yang lebih tinggi serta pertimbangan perjalanan.

Krisis tersebut telah mengakibatkan penutupan ruang udara di rantau Teluk dan, akibatnya, beberapa acara langsung di negara seperti Emiriah Arab Bersatu (UAE) ditangguhkan ke hujung tahun ini atau terus dibatalkan.

Lonjakan harga minyak juga memaksa beberapa syarikat penerbangan mengenakan surcaj bahan api yang lebih tinggi, mengecilkan operasi atau membatalkan penerbangan.

Iqbal Ameer
Iqbal Ameer.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Livescape Group, Iqbal Ameer, berkata penganjur acara langsung sudah terbiasa mengharungi ketidaktentuan dan kekal yakin untuk menjayakan acara berskala besar.

“Acara-acara ini faktor penting dalam kesejahteraan penduduk dan bertindak sebagai pemacu besar untuk pelancongan,” katanya.

Bagaimanapun, katanya komunikasi lebih jelas dan telus daripada pihak kerajaan mahupun sektor swasta adalah penting bagi pemain industri merancang dengan berkesan.

“Masalah sebenar timbul apabila kami terima maklumat yang berikan gambaran indah-indah, tetapi realitinya, jauh sekali.

“Ketiadaan kejelasan itu menyukarkan kami ubah hala tuju dan sesuaikan diri,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.