Bekas penjawat awam kena penjara 30 tahun kerana ganja

Bekas penjawat awam kena penjara 30 tahun kerana ganja

Dia terselamat daripada hukuman sebat memandangkan usianya telah melebihi 50 tahun.

Court of Appeal Mahkamah rayuan
Mahkamah kekalkan pensabitan Norazhar Mat dan Faizul Azwad Ab Jalil kerana mengedar ganja.
PUTRAJAYA:
Seorang bekas penjawat awam akan menjalani hukuman penjara 30 tahun kerana mengedar dan memiliki ganja selepas Mahkamah Rayuan membenarkan sebahagian rayuannya terhadap hukuman tersebut.

Sidang tiga hakim dipengerusikan oleh Azman Abdullah memutuskan bahawa Mahkamah Tinggi tidak terkhilaf dari segi undang-undang atau fakta semasa mensabitkan Norazhar Mat, 55, atas kesalahan mengedar 48kg ganja.

Dia terselamat daripada hukuman sebat memandangkan usianya telah melebihi 50 tahun.

Sidang hakim turut mengekalkan hukuman penjara 30 tahun ke atas Faizul Azwad Ab Jalil, 46, yang dituduh bersama. Faizul juga akan menerima 14 sebatan rotan.

Dalam penghakimannya, mahkamah menyatakan tidak terdapat gangguan dalam rantaian keterangan apabila 50 paket dadah yang asalnya disimpan di dalam dua kotak, dipindahkan ke dua kotak lain.

Pihak pembelaan sebelum ini mempertikaikan keterangan tersebut, mendakwa kotak-kotak itu telah diusik dan tidak dikemukakan di mahkamah.

“Kes pihak pendakwaan disokong oleh rakaman dalam senarai rampasan dan laporan polis,” kata Azman.

Turut bersidang Hakim Hayatul Akmal Abdul Aziz dan Radzi Abdul Hamid.

Kedua-dua lelaki itu dituduh mengedar dadah di luar sebuah rumah di Bandar Sierra, Puchong, kira-kira jam 4 pagi pada 27 Jun 2020.

Polis menangkap pasangan tersebut semasa mereka sedang memindahkan dadah dari sebuah kereta ke sebuah kereta yang lain.

Norazhar juga dituduh bersama seorang wanita atas pemilikan 98kg ganja di sebuah rumah di Bandar Sierra, Puchong, kira-kira jam 4.40 pagi pada tarikh yang sama. Dia membawa pihak polis ke rumah tersebut susulan penangkapannya.

Pihak pendakwaan kemudian mengurangkan pertuduhan kepada pemilikan dan menghentikan kes terhadap wanita berkenaan.

Hukuman penjara 15 tahun bagi kesalahan memiliki ke atas Norazhar turut dikekalkan oleh Mahkamah Rayuan.

Bagaimanapun, mahkamah memerintahkan hukuman itu bermula dari tarikh penangkapannya pada Jun 2020, dan bukannya pada 20 Jun 2025 (tarikh keputusan dijatuhkan) yang diperintahkan oleh Mahkamah Tinggi.

Mahkamah Rayuan juga memerintahkan hukuman bagi mengedar dan memiliki berjalan serentak, bermaksud secara keseluruhan dia akan menjalani hukuman penjara selama 30 tahun.

Kes dikendalikan S Ravichandran selaku peguam bagi pihak Faizul, manakala Mak Kah Keong mewakili Norazhar, dan Timbalan Pendakwa Raya Abdul Malik Ayob bagi pihak pendakwaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.