Bunuh warga emas, bekas pekerja bengkel kekal dipenjara 30 tahun

Bunuh warga emas, bekas pekerja bengkel kekal dipenjara 30 tahun

Panel tiga hakim tolak rayuan Lu Kian Pin, 41, untuk ketepi sabitan dan hukuman yang dijatuhkan oleh Mahkamah Tinggi Johor Bahru pada 2024.

Court of Appeal Mahkamah rayuan
Kes didengar panel tiga hakim Mahkamah Rayuan dianggotai Azman Abdullah, Hayatul Akmal Abdul Aziz dan Mohd Radzi Abdul Hamid.
PETALING JAYA:
Mahkamah Rayuan hari ini mengekalkan hukuman penjara 30 tahun dan 12 sebatan ke atas seorang bekas pekerja bengkel mengecat kereta kerana membunuh seorang warga emas di sebuah inap desa lima tahun lepas.

Panel tiga hakim diketuai Azman Abdullah dalam keputusan sebulat suara menolak rayuan Lu Kian Pin, 41, bagi mengetepikan sabitan dan hukuman yang dijatuhkan oleh Mahkamah Tinggi Johor Bahru. Turut bersidang, Hakim Hayatul Akmal Abdul Aziz dan Mohd Radzi Abdul Hamid.

Mohd Radzi yang membacakan keputusan berkata, mahkamah mendapati Lu gagal menunjukkan bahawa Mahkamah Tinggi terkhilaf dalam mensabitkannya atas tuduhan, dan tiada alasan untuk mahkamah campur tangan.

“Kami dapati perayu gagal membuktikan terdapat provokasi oleh mangsa dan gagal mengemukakan alasan bermerit mewajarkan mahkamah ini untuk mengetepikan sabitan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

“Perayu juga menikam mangsa di bahagian dada dan perut sehingga menyebabkan kematian. Niat untuk membunuh bukan satu elemen perlu dibuktikan oleh pendakwaan, tetapi adalah memadai untuk pihak pendakwaan membuktikan niat perayu untuk mencederakan mangsa dan kecederaan itu boleh menyebabkan kematian.

“Oleh itu, kami bersetuju dengan pihak pendakwaan bahawa rayuan perayu tidak bermerit. Rayuan perayu ditolak dan sabitan serta hukuman oleh Mahkamah Tinggi dikekalkan,” katanya, lapor Bernama.

Lu merayu keputusan Mahkamah Tinggi Johor Bahru pada Februari 2024 yang menjatuhkan hukuman penjara 30 tahun bermula dari tarikh tangkap pada 7 Mac 2021 dan 12 sebatan selepas dia didapati bersalah membunuh Foo Ji Khwe, 78, di sebuah inap desa di Taman Kota Kulai, Johor.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya P Sarulatha berhujah, saksi pendakwaan ke-12 (SP12) iaitu penyewa di inap desa sama terserempak dengan Lu bersama si mati sedang menaiki anak tangga ke tingkat satu dan mereka bertegur sapa.

“SP12 dalam keterangannya menyatakan lelaki itu (Lu) berkata kepadanya, ‘semua orang mahu tipu’ dan si mati meminta SP12 menjauhi sedikit dari lelaki itu sebab dia mabuk sebelum kedua-dua lelaki itu menaiki tangga ke aras atas (inap desa).

“SP12 mendengar bunyi seperti ada pergaduhan dan kemudian mendengar jeritan. (SP12) naik ke atas dan semasa di tangga bahagian tengah, beliau melihat tertuduh turun dengan memegang sebilah pisau yang berlumuran darah ditangannya,” katanya.

Sarulatha berkata, hasil bedah siasat menunjukkan terdapat 16 kesan kecederaan termasuk tujuh luka tikaman yang mana tiga daripadanya serius, membawa kepada kematian.

“SP4 (doktor) menyimpulkan sebab kematian adalah akibat luka tikaman berganda pada dada dan abdomen,” katanya.

Pada prosiding hari ini, perayu diwakili peguam G Ravi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.