Kuskop umum biaya kos rendah sehingga RM5 bilion kepada PKS

Kuskop umum biaya kos rendah sehingga RM5 bilion kepada PKS

Ia untuk memperkasa operasi berteknologi tinggi, ekonomi hijau dan peralihan, automasi serta pendigitalan.

steven sim
Menteri Steven Sim Chee Keong menegaskan komitmen kerajaan memperkukuh PKS menerusi kempen PowerUp10K. (Gambar Kuskop)
GEORGE TOWN:
Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Kuskop) mengumumkan pembiayaan kos rendah sehingga RM5 bilion kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) bagi memacu pertumbuhan dan transformasi.

Menteri Steven Sim Chee Keong berkata pembiayaan itu yang ditawarkan pada kadar serendah 3% hingga 5% adalah untuk memperkasa operasi berteknologi tinggi, ekonomi hijau dan peralihan, automasi serta pendigitalan, selain merangsang sektor pelancongan.

“Dana ini akan disalurkan melalui semua bank berlesen, institusi kewangan yang ditetapkan dan institusi kewangan pembangunan, termasuk Bank Rakyat dan SME Bank di bawah kementerian saya.

“Saya menyeru PKS di Pulau Pinang termasuk jenama warisan untuk memanfaatkan kemudahan ini dan kempen oleh kerajaan bagi memperkasa perniagaan supaya kita bukan sahaja mampu bertahan untuk 50 hingga 100 tahun akan datang, malah boleh menjadi lebih besar, lebih baik dan lebih unggul,” katanya di pelancaran buku ‘Heritage Brands of Penang’.

Sim turut menegaskan komitmen kerajaan memperkukuh PKS menerusi kempen PowerUp10K, iaitu inisiatif sepanjang tahun yang dirangka bagi memperkasakan PKS merentasi pelbagai peringkat pembangunan.

Di bawah kempen itu, kementerian menggariskan lima petunjuk prestasi utama (KPI) termasuk penyaluran pembiayaan kos rendah sehingga RM15 bilion, peningkatan ketara daripada RM10 bilion yang diperuntukkan pada tahun lepas.

“Kami menyasarkan untuk membantu 10,000 perniagaan di pelbagai peringkat untuk berkembang dan akan memperuntukkan sekurang-kurangnya RM100 juta bagi melatih sehingga 100,000 usahawan menerusi pelbagai program-program pembinaan kapasiti.

“Kami menyasarkan untuk membantu sektor PKS mencapai nilai tambah melebihi RM750 bilion. Sebahagian daripada program ini akan membantu 100 syarikat Malaysia mencapai hasil sebanyak RM100 juta dalam tempoh jangka sederhana,” katanya.

Setakat Februari 2026, pembiayaan sebanyak RM2 bilion diluluskan bawah inisiatif PowerUp.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.